Kontraktor rugi lebih RM122,000 angkara tender tidak wujud

KUANTAN - Seorang kontraktor kerugian lebih RM122,000 angkara tawaran tender pembekalan janakuasa untuk sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini yang sebenarnya tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, lelaki berusia 46 tahun itu mendakwa menerima pesanan daripada seorang individu mengaku sebagai kakitangan sebuah IPT di sini menawarkan peluang tender itu kepada syarikat miliknya.
Menurutnya, suspek meminta mangsa menyediakan sebut harga bagi pembekalan jentera tersebut.
"Bagi meyakinkan mangsa, suspek mengemukakan surat tawaran dan memperkenalkan syarikat pembekalnya.
"Tanpa sebarang syak, mangsa bersetuju dan menerima tawaran itu sebelum membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun bank yang diberikan suspek melibatkan jumlah keseluruhan RM122,552," katanya.
Ashari berkata, suspek mendakwa bayaran itu bagi tujuan pembelian barangan yang kononnya diperlukan untuk melaksanakan tender tersebut.
"Mangsa kemudiannya ke IPT berkenaan untuk mendapatkan pengesahan setelah bayaran dibuat.
"Mangsa bagaimanapun diberitahu tiada sebarang pesanan kerajaan atau tawaran sebut harga dikeluarkan pihak terbabit," katanya.
Jelas beliau lagi, mangsa syak telah ditipu apabila suspek gagal dihubungi lalu tampil membuat laporan polis.
"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.
Sehubungan itu, Azhari menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran tender atau sebut harga yang diterima melalui aplikasi pesanan ringkas, media sosial atau panggilan telefon.
"Buat semakan terlebih dahulu dengan agensi atau jabatan yang berkaitan bagi mengesahkan kesahihan sesuatu tawaran, tidak membuat sebarang pembayaran kepada akaun yang meragukan serta mendapatkan pengesahan melalui saluran rasmi sebelum membuat sebarang transaksi.
"Sekiranya mempunyai sebarang keraguan atau menjadi mangsa penipuan, orang ramai disaran segera membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

