Polis kesan 'William' bantu siasatan sindiket scam antarabangsa

Dennis menunjukkan imej William iaitu saksi yang dicari bagi membantu siasatan sindiket penipuan antarabangsa.
Dennis menunjukkan imej William iaitu saksi yang dicari bagi membantu siasatan sindiket penipuan antarabangsa.
A
A
A

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai William bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan antarabangsa yang beroperasi di beberapa banglo di negeri ini dan menyasarkan mangsa di luar negara.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, lelaki berusia 49 tahun itu diperlukan sebagai saksi selepas namanya dikenal pasti hasil siasatan berhubung serbuan ke atas sebuah pusat operasi sindiket di Bukit Mertajam baru-baru ini.

Menurut beliau, William yang alamat terakhirnya di Kluang, Johor, bukan individu yang dikehendaki polis, namun kehadirannya penting bagi membantu melengkapkan siasatan.

“Kita meminta orang ramai yang mengenali William supaya memaklumkan kepadanya agar tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

"Dia hanya diperlukan sebagai saksi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, pada Rabu.

Beliau menambah, siasatan terhadap kes itu bermula selepas polis menerima aduan daripada seorang lelaki warga Cameroon pada 16 Julai lalu berhubung kehilangan seorang wanita senegaranya berusia 26 tahun yang dipercayai dikurung di Pulau Pinang.

"Susulan laporan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang dengan kerjasama IPD berkaitan menjalankan risikan sebelum menyerbu sebuah banglo empat tingkat di Bukit Mertajam.

“Hasil serbuan, polis menemui wanita warga Cameroon terbabit selain menahan 29 individu terdiri daripada warga Filipina, Thailand, Afrika Selatan, Pakistan, Kemboja dan Nigeria yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dennis berkata, polis turut membongkar lima sindiket penipuan rentas negara yang menjadikan Pulau Pinang sebagai pangkalan operasi untuk memperdaya mangsa di Kanada, Amerika Syarikat, China, Taiwan dan Vietnam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lima serbuan yang dijalankan pada 16 dan 17 Julai lalu di Tanjung Bungah, Batu Ferringhi, George Town, Gelugor dan Bukit Mertajam membawa kepada penahanan 108 suspek membabitkan warga tempatan serta pelbagai negara.

Tambah Dennis, empat daripada sindiket itu dipercayai menjalankan penipuan pelaburan tidak wujud dengan menyasarkan mangsa di China, Taiwan dan Vietnam, manakala satu lagi sindiket di Bukit Mertajam dipercayai menjalankan kegiatan phone scam.

“Sindiket berkenaan menyamar sebagai pegawai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan polis Kanada untuk memperdaya mangsa di Kanada serta Amerika Syarikat.

“Setakat ini, siasatan mendapati semua sindiket tersebut hanya menyasarkan mangsa di luar negara dan tiada rakyat Malaysia dikenal pasti menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit serta mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi jenayah tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!