Thailand sahkan 34 kes baharu, satu kematian

Anggota tentera Thailand memakai kelengkapan PPE ketika melakukan kerja semburan nyahkuman di salah satu daerah di negara terbabit. (Xinhua/Rachen Sageamsak)
Anggota tentera Thailand memakai kelengkapan PPE ketika melakukan kerja semburan nyahkuman di salah satu daerah di negara terbabit. (Xinhua/Rachen Sageamsak)
A
A
A

BANGKOK - Thailand mencatatkan 34 kes baharu dan satu kematian di Bangkok menjadikan jumlah keseluruhan kes koronavirus (Covid-19) di negara ini kepada 2,613 dan 41 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, korban terbaharu itu merupakan seorang pemandu bas wanita berusia 52 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi dan mengalami jantung membesar, dijangkiti virus itu daripada seorang pesakit yang disahkan.

Setakat ini, beliau berkata, Thailand mencatatkan 2,613 kes di 68 wilayah dan 1,405 pesakit sudah pulih dan pulang ke rumah.

“Kumpulan berumur 30 hingga 39 tahun merupakan kes terbesar, 623 kes daripada jumlah keseluruhan kes di negara ini.

“Bangkok melaporkan jumlah kes tertinggi dengan 1,311 kes diikuti Phuket (186), Nonthaburi (150), Samut Prakan (107) dan Yala (90),” katanya semasa taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Sementara itu, Thaweesilp menafikan dakwaan tidak banyak kes dilaporkan di negara ini kerana ujian makmal yang rendah.

“Dari Februari hingga 3 April, kami telah menguji 84,008 sampel. Dari 4 hingga 10 April, terdapat 16,490 sampel. Sejumlah 100,498 sampel telah diuji untuk COVID-19 setakat ini. Pihak berkuasa kesihatan akan meningkatkan lagi ujian Covid-19 di negara ini,” katanya.

Setakat semalam, jumlah keseluruhan makmal yang diperakui untuk ujian Covid-19 ialah 93, termasuk 43 makmal (21 kerajaan dan 22 swasta) di Bangkok dan kawasan perbandaran, selain daripada 50 makmal di wilayah lain (44 kerajaan dan enam hospital/makmal swasta).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Thailand berkata, 102 petugas kesihatan dijangkiti virus itu atau empat peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini.

“Buat masa ini, kira-kira 50 peratus daripada jangkitan ini berkaitan dengan pesakit yang tidak mendedahkan sejarah kemungkinan mereka terdedah kepada Covid-19.

Bagi melindungi petugas dan sistem penjagaan kesihatan, adalah penting setiap orang mematuhi langkah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19,” kata kenyataan itu. - Bernama