Harga tiket Kolam Renang Awam Paroi dinilai semula

Kenaikan harga tiket bagi kolam renang awam Paroi tular di media sosial dan dianggap tidak munasabah serta membebankan.
Kenaikan harga tiket bagi kolam renang awam Paroi tular di media sosial dan dianggap tidak munasabah serta membebankan.
A
A
A

SEREMBAN – Kerajaan negeri akan menilai semula kenaikan harga tiket bagi Kolam Renang Awam Paroi, yang dinaikkan sehingga 80 peratus sejak awal Januari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya akan meneliti kadar kenaikan harga tiket baharu itu bagi memastikan rasionalisasi terhadap caj tersebut yang dikenakan kepada orang ramai.

Katanya, kolam renang itu dikendalikan oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS), dan sebarang keputusan yang dibuat adalah daripada persetujuan ahli majlis yang menghadiri mesyuarat majlis penuh MPS.

“Saya dimaklumkan kenaikan tersebuat adalah untuk menampung kos penyelangaraan dan seliaan untuk kolam itu sebanyak RM40,000 sehingga RN45,000 sebulan.

“Kita akan meneliti kadar kenaikan caj tersebut agar selari dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan, saya akan berbincang semula dan kita akan lihat kenaikan ini adakah ia munasabah atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri semalam.

Tambahnya, pihaknya juga akan memastikan kenaikan harga itu bukan sekadar untuk menampung kos pengoperasian sahaja, sebaliknya beliau berharap kualiti perkhidmatan di kolam renang awam itu juga dapat dipertingkatkan, dan perlu ada penambahbaikan terutamanya dari sudut kebersihan, kemudahan serta keselamatan pengguna.

“Kita mahu lihat selepas ini apakah tindakan dan nilai tambah yang dibuat oleh MPS, kerana apabila ada kenaikan harga perlu ada perubahan yang lebih baik untuk keselesaan pengguna,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kenaikan harga tiket bagi kolam renang awam Paroi tular di media sosial, gara-gara MPS mengenakan kadar baharu melebihi 80 peratus, yang dianggap tidak munasabah serta membebankan.

Sebelum ini, harga tiket untuk dewasa adalah RM2.50, kanak-kanak RM1.50, telah dinaikkan kepada RM4 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Manakala kadar bagi Sabtu, Ahad dan Cuti Am, daripada RM3.50 (dewasa) kepada RM5, dan kanak-kanak RM2.50 kepada RM4.

Kadar lama bayaran ini telah dilaksanakan sejak tahun 2007, iaitu 12 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu tiada kenaikan dikenakan.