Taktik sindiket guna lori sampah edar, hantar minuman keras terbongkar


KAJANG - Taktik menggunakan lori sampah sebagai pengangkutan utama untuk mengedar dan menghantar minuman keras tanpa cukai kepada pelanggan terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman dalam Op Taring Alpha 2 di sekitar daerah ini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi hasil risikan itu bermula kira-kira jam 4.30 petang membabitkan dua serbuan di lokasi yang dipercayai menjalankan kegiatan penjualan minuman keras tanpa cukai.
Menurutnya, serbuan berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 62 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan.
"Pasukan serbuan turut merampas sebuah lori Isuzu satu tan, sebuah Toyota Altis, 1,361 kotak mengandungi 32,664 tin minuman keras pelbagai jenis serta tiga telefon bimbit.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk minuman keras, kenderaan dan telefon bimbit dianggarkan berjumlah RM1,070,164.58," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki minuman keras tanpa cukai.
"Siasatan mendapati sindiket menggunakan lori sampah sebagai pengangkutan utama bagi mengedar dan menghantar minuman keras tidak bercukai kepada pelanggan selain menjadikan stor sebagai tempat penyimpanan.
"Serbuan ini merupakan kali pertama pihak berkuasa mengesan penggunaan modus operandi sedemikian, sekali gus memperlihatkan taktik baharu yang digunakan sindiket bagi mengaburi kegiatan jenayah mereka," katanya.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun lalu, PGA merekodkan rampasan minuman keras tanpa cukai bernilai RM14.52 juta membabitkan 82 kes dengan 87 individu ditahan di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan KDNKA, bagi membantu membanteras kegiatan penyeludupan dan penjualan minuman keras tanpa cukai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

