Laporan akhir RCI diharap noktahkan episod hitam Tabung Haji - AMK

SHAH ALAM - Laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) yang bakal didedahkan oleh kerajaan tidak lama lagi diharap dapat menjadi noktah kepada episod hitam organisasi itu.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya turut berharap ia bakal menjadi permulaan kepada institusi TH yang lebih telus, berintegriti dan benar-benar berpaksikan kepentingan umat Islam.
Menurut beliau, amanahnya mesti dipelihara serta dipulihkan kerana ia dianggap tanggungjawab masyarakat kepada generasi hari ini dan akan datang.
"Atas sebab itulah Kerajaan Madani memilih jalan yang sukar iaitu mendedahkan kebenaran.
"Ada pihak yang lebih selesa jika kisah ini terus tersimpan. Ada yang berharap rakyat melupakan episod hitam ini.
"Tetapi, kita mesti berani mengaku bahawa kesilapan dan ketelanjuran telah pun berlaku. Oleh itu, tugas kita sekarang memastikan mereka yang bertanggungjawab, dipertanggungjawabkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Muhammad Kamil berpandangan, pendedahan laporan akhir itu merupakan detik penting buat negara dan rakyat berhak tahu bagaimana sebuah institusi yang diamanahkan umat Islam dijarah rakus oleh kelompok tertentu serta terpalit pelbagai persoalan sehingga memerlukan siasatan peringkat tertinggi.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan menegaskan setiap wang ringgit disimpan di dalam akaun TH bukan lebihan, sebaliknya hasil menoreh getah, mengusahakan bendang dan kebun, memandu teksi daripada pagi hingga ke malam, berniaga kecil-kecilan di kampung dan wilayah FELDA serta bermacam-macam lagi.
Jelasnya lagi, impian besar penyimpan cuma satu iaitu menjadi tetamu ALLAH SWT.
"Namun, apabila amanah sebesar ini diperlakukan dengan cuai, maka yang dikhianati bukan imej institusi semata-mata.
"Tetapi juga harapan jutaan umat Islam yang menyimpan dengan sabar dan tekun bertahun-tahun bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
