Pendedahan RCI TH: peluang pulihkan keyakinan pendeposit

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KEPUTUSAN Kerajaan Persekutuan untuk mendedahkan laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan isu pengurusan institusi berkenaan dinilai secara terbuka berdasarkan fakta dan dapatan rasmi.

Langkah itu bukan sahaja memberi ruang kepada rakyat memahami perkara sebenar berkaitan pengurusan TH.

Malah ini menjadi usaha mengembalikan keyakinan lebih 10 juta pendeposit terhadap institusi mempunyai peranan besar dalam menguruskan simpanan umat Islam bagi tujuan ibadah haji.

Selama ini, isu berkaitan kedudukan aset, liabiliti, pelaburan dan tadbir urus TH menjadi perhatian selepas timbul persoalan mengenai pengurusan kewangan institusi itu bagi tempoh tertentu.

Pendedahan laporan RCI dijangka dapat menjelaskan perkara yang menjadi tanda tanya, khususnya berkaitan keputusan pengurusan dan langkah yang diambil dalam memastikan kedudukan TH dipulihkan.

Dalam konteks tadbir urus, laporan berkenaan boleh menjadi rujukan penting untuk menilai kelemahan yang berlaku sebelum ini serta memastikan langkah pembetulan yang dilaksanakan benar-benar berkesan.

Dapatan bahawa berlaku pelanggaran peraturan dan kelemahan pengurusan, namun tidak melibatkan unsur rasuah, menunjukkan isu yang berlaku lebih berkaitan aspek pematuhan, kawalan dalaman serta proses membuat keputusan.

Keadaan itu memberi isyarat bahawa pengukuhan sistem pengurusan perlu terus diberi perhatian supaya keputusan berkaitan pelaburan dan kewangan TH dibuat secara lebih berhati-hati serta telus.

Pada masa sama, pendedahan laporan itu mampu menutup ruang kepada pelbagai spekulasi yang selama ini dikaitkan dengan TH, khususnya dakwaan mengenai pengurusan aset strategik dan kedudukan kewangannya.

Artikel Berkaitan:

Dengan adanya penjelasan rasmi daripada laporan RCI, perbincangan mengenai TH selepas ini boleh beralih daripada persoalan lama kepada usaha memperkukuhkan masa depan institusi berkenaan.

Namun, kerajaan dan pengurusan TH perlu memastikan pendedahan laporan disusuli penerangan jelas kepada pendeposit bagi mengelakkan kekeliruan serta salah tafsir terhadap kandungan laporan.

Ini penting kerana keyakinan pendeposit merupakan aset utama TH. Sebarang persepsi negatif boleh memberi kesan kepada kepercayaan masyarakat terhadap institusi yang bergantung kepada amanah rakyat itu.

Langkah pemulihan dilaksanakan sejak 2019 menerusi pelan penstrukturan semula aset, termasuk pemindahan aset kurang berdaya maju kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (SPV), menunjukkan usaha memperbaiki kedudukan TH telah berjalan sebelum laporan RCI didedahkan.

Kini, dengan kedudukan TH yang lebih kukuh di bawah pengurusan semasa, pendedahan laporan RCI boleh menjadi titik penting untuk membina semula keyakinan rakyat secara lebih menyeluruh.

Dari sudut lebih luas, tindakan kerajaan membuka laporan siasatan kepada umum mencerminkan pendekatan yang menekankan prinsip akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan institusi berkepentingan awam.

Ia juga menunjukkan bahawa pendedahan isu lama tidak semestinya melemahkan institusi, sebaliknya boleh menjadi peluang untuk melakukan penambahbaikan dan memastikan kesilapan sama tidak berulang.

Kejayaan langkah ini bergantung kepada bagaimana laporan itu diterangkan kepada rakyat serta sejauh mana syor dan penambahbaikan hasil RCI terus dilaksanakan demi memastikan TH kekal sebagai institusi yang dipercayai dan berdaya tahan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!