Murid kerap sakit bongkar dakwaan dicabul suami guru

JAKARTA – Siasatan terhadap pasangan suami isteri yang disyaki melakukan jenayah seksual terhadap seorang murid sekolah rendah di Tanjungbalai, Sumatera Utara bermula selepas mangsa menunjukkan perubahan tingkah laku dan kerap mengadu mengalami kesakitan pada bahagian badan.
Mangsa, seorang murid Tahun Dua yang juga anak yatim piatu, dipercayai menceritakan kejadian yang dialaminya kepada nenek angkat selepas ditanya mengenai keadaan dirinya.
Setiausaha Kampung, AAS berkata, pengakuan mangsa membawa kepada pendedahan kes yang didakwa melibatkan seorang guru dan suaminya.
"Apabila ditanya oleh nenek angkatnya, mangsa mengaku menjadi mangsa keganasan seksual yang didakwa dilakukan oleh suspek," katanya pada Khamis.
Menurutnya, keluarga mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjungbalai dan menggesa tindakan segera diambil terhadap kedua-dua suspek.
Suspek dikenali sebagai AIK, seorang penjawat awam sambilan di bawah pentadbiran Kerajaan Kota Tanjungbalai, manakala isterinya, D, merupakan seorang guru.
Bagaimanapun, AAS mendakwa kes berkenaan telah dilaporkan sejak kira-kira dua bulan lalu, namun proses siasatan yang didakwa berjalan perlahan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, keadaan menjadi lebih tegang apabila penduduk mendakwa salah seorang suspek masih meneruskan tugas mengajar di sekolah walaupun siasatan sedang dijalankan.
"Dakwaan bahawa suspek masih berada di sekolah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa dan penduduk setempat," katanya.
Kemarahan itu akhirnya menyebabkan ratusan penduduk berhimpun dan mengerumuni kediaman pasangan berkenaan sebagai tanda bantahan terhadap dakwaan jenayah yang dilakukan.
Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal selepas anggota polis tiba di lokasi dan membawa kedua-dua suspek keluar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Ketua Polis Tanjungbalai, AKBP Welman Feri mengesahkan pasangan suami isteri terbabit masih menjalani proses siasatan.
"Masih diperiksa," katanya ringkas ketika dihubungi media.
Setakat ini, polis belum mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai perkembangan siasatan atau sebarang pertuduhan yang akan dikenakan terhadap kedua-dua suspek.
Kes berkenaan mengundang perhatian meluas masyarakat Indonesia yang menggesa siasatan dijalankan secara telus serta tindakan tegas diambil sekiranya dakwaan terhadap pasangan terbabit dibuktikan di mahkamah. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

