WCIT medan penyatuan cendekiawan bangunkan dunia Islam

IPOH – Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) disifatkan sebagai platform penting menghimpunkan cendekiawan serta pakar dari seluruh dunia bagi menyatukan idea serta merangka agenda bersama ke arah pembangunan dunia Islam yang lebih progresif dan mampan.
Profesor Polisi Inovasi Arabian Gulf University, Bahrain, Profesor Dr Odeh Rashid Al-Jayyousi berkata, persidangan itu berjaya menampilkan perspektif mengenai perpaduan dalam Islam selain mengangkat nilai tamadun Islam sebagai asas kepada dialog antara pelbagai peradaban.
Menurutnya, persidangan berkenaan turut mengetengahkan idea baharu berkaitan tadbir urus yang baik, integriti serta konsep keselamatan berteraskan solidariti dan keharmonian sejagat.
"Persidangan ini merupakan medan terbaik untuk berkongsi ilmu serta membentangkan model baharu bagi mencapai kemakmuran dan pembangunan mampan secara bersama.
"Topik yang dibincangkan juga sangat luas dan relevan, merangkumi tadbir urus, keselamatan, teknologi, gaya hidup, kemampanan serta kebersihan di samping mengarusperdanakan nilai dan etika Islam dalam pembangunan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan WCIT Ke-8 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Khamis.

Sementara itu, Dekan Fakulti Biologi dan Pertanian Universitas Nasional Jakarta, Dr Fachruddin Majeri Mangunjaya menyifatkan WCIT sebagai inisiatif bernilai tinggi yang menjadikan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pusat dialog antarabangsa mengenai pemikiran dan tamadun Islam.
Beliau berkata, persidangan yang memasuki penganjuran kali kelapan itu merupakan aset penting bukan sahaja kepada Perak malah kepada rantau Asia Tenggara dalam memperluaskan wacana ilmu dan pembangunan tamadun.
"Saya berharap usaha ini diteruskan dengan menghimpunkan lebih ramai pakar dari seluruh dunia kerana ia menjadi modal ilmu yang amat berharga kepada universiti, negeri dan negara.
"Dunia kini berdepan perubahan pesat termasuk perkembangan AI (kecerdasan buatan) namun kita tidak boleh melupakan asas keimanan, ajaran Islam serta peranan ulama dalam membimbing pembangunan masyarakat," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

