'Mengapa 'Perikatan' di hadapan, 'BN' di belakang?' - Penganalisis politik

SEREMBAN - Cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menjenamakan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sebagai 'Perikatan Barisan Nasional' bukan sekadar soal memilih nama.
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, dalam ilmu politik, penjenamaan merupakan satu bentuk komunikasi kuasa.
"Susunan nama, simbol dan identiti membawa mesej yang jauh lebih besar daripada sekadar estetika.
"Justeru, persoalan yang wajar ditanya ialah mengapa 'Perikatan' diletakkan di hadapan, sedangkan 'BN berada di belakang?" katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dari perspektif psikologi politik, susunan itu secara tidak langsung memberi gambaran bahawa PN merupakan paksi utama, manakala BN sekadar pelengkap.
Jelas Ahmad Zaharuddin, dalam mana-mana proses penggabungan organisasi, pihak yang namanya muncul di hadapan lazimnya dianggap mempunyai dominasi dari sudut politik, ideologi dan kepimpinan.
"Persepsi inilah yang boleh mencetuskan kegelisahan dalam kalangan penyokong UMNO dan BN yang selama lebih lima dekad melihat parti itu sebagai jenama politik terbesar negara.
"Ironinya, Hamzah mungkin berniat merapatkan jurang antara dua gabungan. Namun, dalam komunikasi politik, niat tidak semestinya diterjemahkan sebagai persepsi," katanya.
Tambahnya, akar umbi BN mungkin mentafsir cadangan tersebut sebagai simbol 'penurunan taraf' sebuah jenama yang pernah membentuk kerajaan selama 61 tahun.
Namun jelas beliau, hakikat bahawa parti itu kini lebih kecil berbanding era kegemilangannya tidak bermaksud nilai sejarah dan sentimental jenamanya telah hilang.
"Dalam politik, memori kolektif sering lebih kuat daripada realiti semasa.
"Sejarah politik Malaysia sendiri mengajar bahawa kegagalan sesuatu gabungan jarang berpunca daripada nama," ujarnya.
Sebagai contoh, kata Zainuddin, Muafakat Nasional runtuh bukan kerana jenamanya lemah, tetapi disebabkan kegagalan menyelesaikan konflik kepimpinan, perebutan kerusi dan krisis kepercayaan.
Justeru, katanya, menukar nama tanpa menyelesaikan masalah asas hanyalah menukar kulit, bukannya mengubah isi keseluruhannya.
"Jika Perikatan Barisan Nasional mahu menjadi formula kemenangan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), ia perlu menawarkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar penyatuan matematik kerusi.
"Rakyat sedang mencari kredibiliti, integriti dan kepimpinan yang mampu mengangkat semula keyakinan terhadap institusi politik," katanya.
Selain itu, katanya, gabungan BN-PN juga perlu berani menampilkan barisan kepimpinan yang bebas daripada liabiliti skandal serta mempunyai agenda ekonomi dan tadbir urus yang jelas.
Tambah Ahmad Zaharuddin, dalam politik, jenama yang kuat bukan dibina melalui singkatan yang sedap didengar, tetapi melalui kepercayaan yang dibina secara konsisten.
"Jika Perikatan Barisan Nasional sekadar menjadi nama baharu kepada wajah lama, ia akan mengulangi nasib Muafakat Nasional.
"Namun, jika ia benar-benar menjadi simbol pembaharuan politik, maka susunan nama akhirnya tidak lagi menjadi isu," katanya.
Namun, ujar beliau, persoalan sebenar bukanlah sama ada rakyat mampu menerima nama Perikatan Barisan Nasional, tetapi sama ada BN sendiri sanggup menerima hakikat bahawa meletakkan namanya di belakang mungkin membawa mesej yang lebih besar daripada yang disedari oleh pencetus idea tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

