Ahli arkeologi temui rangka manusia berusia hampir 3,000 tahun

Rangka itu akan melalui proses pentarikhan radiokarbon bagi mengesahkan usia sebenar. Foto AFP
Rangka itu akan melalui proses pentarikhan radiokarbon bagi mengesahkan usia sebenar. Foto AFP
A
A
A

ANTIGUO CUSCATLAN - Ahli arkeologi di El Salvador menggali keluar rangka manusia yang dipercayai berusia hampir 3,000 tahun, menurut Kementerian Kebudayaan pada Selasa.

Ia pertama kali ditemui pada awal bulan lalu di tapak pengebumian di Antiguo Cuscatlan, pinggir bandar San Salvador dan dipercayai berasal sekitar 850 sebelum Masihi.

Lubang pusara itu turut mengandungi sebuah bekas seramik kecil berbentuk penyu laut selain sisa ranting ubi kayu terpelihara di bawah lapisan abu gunung berapi yang mendap pada tempoh berbeza.

Rangka itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan akan melalui proses pentarikhan radiokarbon bagi mengesahkan usia sebenar manakala analisis DNA dijalankan untuk menentukan jantinanya.

Menurut kementerian berkenaan, tapak itu berkemungkinan mempunyai ciri pengebumian yang serupa dengan tapak arkeologi Chalchuapa di barat El Salvador yang membawa penemuan 33 rangka pada tahun 1970-an.

Penemuan 26 rangka lengkap, empat rangka separa lengkap dan tiga tengkorak secara berasingan itu dianggap sebagai bukti paling awal mengenai ritual pengorbanan manusia di rantau Mesoamerika.

Kesemua rangka itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan tangan dan kaki terikat manakala sebahagiannya menunjukkan kesan dicacatkan atau dipenggal kepala. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!