Dari kem pelarian sesak ke perjalanan 'menempuh maut'

COX'S BAZAR - Rahela Begum terselamat daripada keganasan konflik di Myanmar, namun terpaksa meneruskan kehidupan serba daif di kem pelarian terbesar dunia di Bangladesh.
Pada April lalu, wanita berusia 25 tahun itu mempertaruhkan nyawa meredah perjalanan berbahaya menuju ke Malaysia menyertai ribuan pelarian Rohingya yang sanggup meredah lautan demi mencari kehidupan lebih baik.
Rahela hanyut selama dua hari di Laut Andaman berhampiran Bangladesh selepas bot yang dinaiki bersama kira-kira 280 pelarian Rohingya karam selepas berlayar selama empat hari. Nasibnya hampir berakhir di laut apabila terpaksa berpaut pada sekeping papan kayu.
"Saya terapung seperti mayat. Dengan segala kudrat yang ada, saya bertarung untuk terus hidup," ujarnya ketika berkongsi pengalaman ngeri tersebut.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ribuan pelarian Rohingya cuba meninggalkan kem sesak di Cox's Bazar yang menempatkan lebih sejuta mangsa yang melarikan diri daripada konflik di wilayah Rakhine, Myanmar.
Rahela telah menghuni kem tersebut sejak 2017 sebelum nekad meninggalkan semuanya demi membina kehidupan baharu di negara Asia Tenggara meskipun golongan pelarian Rohingya kurang diterima penduduk tempatan.

Terdesak
Dhaka melarang pelarian Rohingya meninggalkan kem atau bekerja secara sah menyebabkan Rahela tiada pilihan selain cuba melarikan diri melalui jalan laut.
"Saya bertemu dengan seorang anggota sindiket pemerdagangan manusia yang berjanji akan menjaga saya 'seperti adik sendiri'.
"Dia membawa saya ke Teknaf, kira-kira sejam perjalanan dari Cox's Bazar sebelum dibawa menaiki sebuah bot nelayan yang melebihi muatan pada 4 April," ujarnya.
Apabila berita mengenai tragedi bot karam itu tersebar seminggu kemudian, Pengawal Pantai Bangladesh memaklumkan hanya sembilan mangsa ditemui masih hidup termasuk enam anggota sindiket pemerdagangan manusia.
Kegiatan pemerdagangan manusia kini menjadi perniagaan yang sangat menguntungkan apabila ejen perekrut dan sindiket jenayah memperdaya pelarian yang terdesak dan menjanjikan kehidupan yang lebih baik di luar kem yang digambarkan sebagai 'penjara terbuka'.
"Rangkaian itu beroperasi di kem pelarian selain mempunyai kontak dari Teknaf, Myanmar, Thailand dan Malaysia," kata anggota sindiket itu yang enggan identitinya didedahkan.
Perjalanan 'menempuh maut' itu bermula di Teknaf di mana pelarian terpaksa berhimpit di dalam bot nelayan sebelum dipindahkan ke kapal yang lebih besar di tengah laut.
"Saya memperoleh sehingga 250,000 taka (RM8,300) bagi setiap penghantaran pelarian," ujarnya yang mendakwa aktiviti itu kononnya bukan perbuatan jenayah.
Walaupun menyedari bahaya yang bakal dihadapi, keinginan pelarian Rohingya untuk meninggalkan kem tetap tidak pernah padam.
Sindiket bermaharajalela
Pihak berkuasa pula bergelut untuk membendung kegiatan penyeludupan manusia. Pengawal Pantai Bangladesh, Leftenan Mohammad Rawnak Rahman sentiasa menjalankan rondaan di muara Sungai Naf yang bersempadan antara Bangladesh dengan Myanmar.
Beliau menyusuri laluan di celah bot-bot nelayan sambil memerhatikan bukit-bukau di wilayah Rakhine yang masih bergolak akibat pertempuran antara kumpulan pemberontak, Tentera Arakan dan askar junta.
"Kami sentiasa berwaspada dan melakukan segala yang termampu untuk mengawal keadaan," katanya sambil memaklumkan seramai 618 mangsa sindiket pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan setakat ini.
Di Mahkamah Cox's Bazar, pendakwa raya, Tawhidul Anwar mengakui pihaknya berdepan beban kes yang terlalu besar.
"Kami sedang mengendalikan kira-kira 500 kes pemerdagangan manusia. Siasatan tidak begitu berjalan lancar kerana sukar mendapatkan bukti selain sindiket itu mempunyai pengaruh yang amat besar," katanya.
Ketua Polis tempatan, ANM Sajedur Rahman pula berkata, pihak berkuasa kekurangan sumber untuk melumpuhkan kegiatan itu yang semakin bermaharajalela.
"Keadaan menjadi lebih rumit apabila pelarian Rohingya sendiri yang secara sukarela mahu melarikan diri walau apa cara sekalipun," menurutnya.
Sementara itu, Presiden Majlis Rohingya Bersatu, Sayed Ullah mempertahankan tindakan kumpulan etnik itu yang mahu meninggalkan kem tersebut.
"Setiap orang hanya makan dua kali sehari dan mempunyai wang sebanyak 16 taka (50 sen). Tiada siapa patut halang jika mereka cuba mencari kehidupan yang lebih baik. Kami semakin buntu untuk mencari jalan keluar. Satu-satunya penyelesaian ialah perjanjian damai yang berkekalan di Myanmar," kata Ullah.
Di pondok kecil diperbuat daripada buluh dan kanvas di Cox's Bazar, Rahela menyatakan impiannya untuk mengecap kebebasan turut tenggelam bersama bot yang karam.
"Tiada tempat yang benar-benar memberikan saya ketenangan. Tidak di tanah air sendiri, mahupun di sini," ujarnya dalam nada hiba. - AFP
Info
>Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 6,500 pelarian Rohingya cuba meninggalkan kem di Cox's Bazar melalui laluan laut sepanjang 2025. Seorang daripada setiap tujuh individu dilaporkan maut atau hilang.
>Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merekodkan 2,300 pelarian meninggalkan kem antara Januari hingga Mei 2026, meningkat berbanding 1,180 orang dalam tempoh sama pada tahun lalu.
>Hampir 900 pelarian Rohingya dilaporkan maut atau hilang di laut sepanjang 2025, menjadikannya tahun paling buruk pernah direkodkan bagi krisis itu. Jumlah korban terus meningkat pada tahun 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

