Lima maut lombong emas runtuh di barat daya Kenya

Sekurang-kurangnya lima pelombong maut selepas sebuah lombong emas runtuh di Kaunti Narok, barat daya Kenya.
Sekurang-kurangnya lima pelombong maut selepas sebuah lombong emas runtuh di Kaunti Narok, barat daya Kenya.
A
A
A

NAROK (Kenya) - Sekurang-kurangnya lima pelombong maut selepas sebuah lombong emas runtuh di Kaunti Narok, barat daya Kenya, lapor Xinhua yang memetik pihak berkuasa tempatan pada Rabu.

Komander Polis Kaunti Narok Patrick Lobolia berkata, operasi menyelamat masih diteruskan bagi mengeluarkan beberapa lagi pelombong yang dipercayai terperangkap di bawah tanah selepas terowong lombong itu runtuh akibat hujan lebat.

"Pasukan penyelamat berada di lokasi bagi membantu menyelamatkan lebih ramai mangsa yang dipercayai masih terperangkap," katanya kepada Xinhua menerusi telefon.

Lobolia berkata, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di kawasan Kilimapesa, namun kemajuannya terjejas akibat kekurangan peralatan khusus bagi operasi perlombongan.

"Operasi bergerak perlahan berikutan kekurangan peralatan khas untuk operasi mencari di bawah tanah serta kamera," katanya.

Beliau berkata, beberapa mangsa yang terselamat telah berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian dan dibawa ke kemudahan kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan.

Kilimapesa, yang terletak kira-kira 180 kilometer di selatan Bandar Narok, menempatkan operasi perlombongan emas komersial terbesar di Kenya.

Kejadian itu berlaku ketika kebimbangan terhadap aspek keselamatan dalam sektor perlombongan emas Kenya semakin meningkat susulan beberapa kemalangan maut yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tragedi yang berulang kali berlaku itu mendorong pihak berkepentingan sekali lagi menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap peraturan dan piawaian keselamatan di seluruh industri.

Artikel Berkaitan:

Perlombongan emas merupakan sumber pendapatan utama bagi ribuan pelombong kecil di seluruh Kenya. Namun, operasi perlombongan tidak formal dan tidak dikawal selia di kawasan yang kaya dengan emas telah meragut puluhan nyawa akibat kejadian runtuhan lombong yang kerap berlaku serta keadaan kerja yang berbahaya. - Bernama/Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!