Elak permusuhan, terima hakikat negara ini berbilang kaum - PM

Anwar ketika berucap pada Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, pada Rabu.
Anwar ketika berucap pada Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN – Rakyat negara ini seharusnya menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepelbagaian kaum, agama dan keturunan adalah ketentuan yang seharusnya dihargai bagi membolehkan rakyat saling mengenali serta hidup dalam suasana harmoni.

"Jangan ikut sikap sesetengah orang tua yang tidak boleh menerima hakikat ini kerana tidak semua negara mempunyai kepelbagaian kaum dan agama seperti negara ini.

"Ada yang berbeza agama sehingga berlaku peperangan. Kalau ikut sejarah Eropah, berlakunya perang selama 30 tahun antara penganut Katolik dan Protestan. Jadi anak-anak muda, terimalah hakikat bahawa kita ini mempunyai kepelbagaian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini pada Rabu.

Beliau meluahkan rasa kesal kerana masih terdapat segelintir pihak yang berterusan membangkitkan perbezaan antara kaum sehingga mewujudkan permusuhan sesama masyarakat.

Ujarnya, sebagai Perdana Menteri, beliau berusaha melakukan yang terbaik untuk semua rakyat, namun pada masa sama tidak boleh menafikan hak penganut agama lain.

"Asalkan semua rakyat Malaysia, tanpa terkecuali, menerima hakikat bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara dan meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu. Pada masa sama, jika mahu menguasai dengan baik Bahasa Cina, silakan.

"Ini satu negara yang mahu melahirkan rakyat yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Cina dan Arab. Semua itu adalah kekuatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau mengingatkan golongan muda supaya menerima kepelbagaian yang ada serta menjadikan perpaduan sebagai asas untuk membangunkan negara.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!