Hasina tekad pulang ke Bangladesh walaupun berdepan hukuman mati

Hasina. - Agensi
Hasina. - Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina berikrar akan pulang ke tanah air dan hadir di mahkamah walaupun berdepan risiko dipenjarakan atau dihukum mati, sambil menolak sabitan terhadapnya berhubung tindakan berdarah ke atas protes pelajar pada 2024 sebagai "bermotifkan politik".

"Saya akan pulang ke Bangladesh. Saya akan hadir di mahkamah," kata Hasina, 78, dalam temu bual bertulis dengan Kyodo News baru-baru ini, tanpa menyatakan mahkamah yang dimaksudkan.

"Mereka mungkin memenjarakan saya. Mereka mungkin cuba menggantung saya. Saya sedar akan risiko itu," katanya, yang dipercayai merujuk kepada pihak berkuasa Bangladesh.

Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India pada Ogos 2024 susulan protes yang tercetus akibat keputusan mahkamah berhubung sistem kuota jawatan perkhidmatan awam. Sejak itu beliau menetap di India.

Beliau dibicarakan tanpa kehadiran dan dijatuhi hukuman mati oleh Tribunal Jenayah Perang Bangladesh pada November 2025 atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.

Bangladesh telah memohon India mengekstradisi Hasina. Jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar India baru-baru ini berkata New Delhi menerima permohonan itu dan sedang menelitinya berdasarkan proses perundangan dan kehakiman yang berkaitan.

Mengulas laporan media awal bulan ini mengenai hasrat Hasina untuk pulang, Penasihat Penerangan kepada Perdana Menteri Tarique Rahman, Zahed Ur Rahman, berkata pada sidang media 14 Julai bahawa kerajaan sedang berusaha membawa pulang Hasina bagi menghadapi perbicaraan dan akan memastikan beliau diberi peluang membela diri.

Selepas Mahkamah Tinggi pada Jun 2024 mengembalikan kuota 30 peratus bagi keturunan veteran Perang Kemerdekaan 1971 untuk jawatan perkhidmatan awam, protes yang dipimpin pelajar tercetus sebelum berkembang menjadi gerakan lebih besar menentang kerajaan. Penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan serta penyokong parti pemerintah ketika itu, Liga Awami pimpinan Hasina.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sehingga 1,400 orang terbunuh dalam insiden itu, kebanyakannya ditembak pasukan keselamatan. Hasina menafikan mengarahkan pembunuhan itu dan mendakwa gerakan berkenaan dimanipulasi oleh pihak lawan politik.

Artikel Berkaitan:

"Jika pakar forensik asing yang bebas meneliti bagaimana setiap mangsa meninggal dunia dan daripada senjata atau peluru mana ia dilepaskan, kebenaran masih boleh dibuktikan," katanya.

Berhubung keputusan Tribunal Jenayah Perang pada 2025, Human Rights Watch menyuarakan kebimbangan terhadap perbicaraan yang dijalankan tanpa kehadiran Hasina, namun menegaskan pihak yang bertanggungjawab terhadap pencabulan hak asasi di bawah pentadbirannya perlu dipertanggungjawabkan.

Hasina, anak kepada pengasas Bangladesh Sheikh Mujibur Rahman, berkhidmat sebagai perdana menteri selama lima penggal, iaitu dari Jun 1996 hingga Julai 2001 dan dari Januari 2009 hingga Ogos 2024.

Semasa penggal ketiganya, kumpulan militan menyerang Restoran Holey Artisan Bakery di Dhaka pada Julai 2016, mengorbankan 20 tebusan terdiri daripada sembilan warga Itali, tujuh warga Jepun, dua warga Bangladesh, seorang warga India dan seorang warga Amerika Syarikat (AS) berketurunan Bangladesh. Dua anggota polis turut terbunuh ketika bertindak balas terhadap serangan itu.

Tujuh militan Islam dijatuhi hukuman mati pada 2019 kerana terbabit dalam serangan berkenaan, namun hukuman itu kemudian diringankan kepada penjara seumur hidup.

Mangsa warga Jepun ketika itu terlibat dalam projek sistem kereta api pantas di ibu negara Bangladesh yang dibantu Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

"Bangladesh yang stabil bukan sahaja penting kepada Bangladesh. Ia juga penting kepada Asia Selatan, Teluk Benggala, rakan pembangunan dan negara seperti Jepun yang telah melaburkan kepercayaan, sumber serta persahabatan dalam pembangunan negara kami," kata Hasina.

Mengenai masa depan Bangladesh, beliau berkata: "Negara ini memerlukan pemulihan. Namun perdamaian tidak boleh bermaksud kekebalan daripada tindakan undang-undang," sambil menegaskan mereka yang bertanggungjawab atas jenayah mesti dihadapkan ke proses perundangan yang sewajarnya.

Selepas Hasina meninggalkan Bangladesh, sebuah kerajaan sementara dibentuk di bawah penerima Hadiah Keamanan Nobel Muhammad Yunus, yang dilantik sebagai ketua penasihat selepas dicadangkan oleh pemimpin protes pelajar.

Susulan pilihan raya umum pada Februari 2026 yang dimenangi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), pemimpin parti itu Tarique Rahman mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Semua aktiviti parti Liga Awami pimpinan Hasina diharamkan sejak Mei 2025.

"Dekad akan datang boleh menjadi tempoh pemulihan dan pembaharuan, tetapi hanya jika demokrasi dipulihkan dan rakyat dibenarkan menentukan masa depan mereka sendiri," katanya. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!