Kos perang Iran RM153.3 bilion

AS kembali membedil bertalu-talu sasaran di Iran sejak lebih seminggu lalu. Foto Agensi
AS kembali membedil bertalu-talu sasaran di Iran sejak lebih seminggu lalu. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Kos perang Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran telah meningkat kepada AS$37.5 bilion (RM153.3 bilion) setakat ini.

Angka itu didedahkan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth pada Selasa ketika berdepan ahli Kongres yang skeptikal setelah pentadbiran Presiden, Donald Trump melancarkan semula kempen pencerobohan ganas ke atas Teheran lebih seminggu lalu.

Hegseth memberitahu ahli Kongres ketika sesi pendengaran di Washington bahawa jumlah tersebut merangkumi beberapa aspek peperangan dan anggaran kos dibuat sehingga 30 September.

Bagaimanapun, masih tidak jelas bagaimana Pentagon memperoleh angka tersebut sedangkan pentadbiran Trump menganggarkan enam hari pertama perang itu pada awal Mac lalu menelan kos kira-kira AS$11.3 bilion (RM46.2 bilion).

Pada bulan lalu, Trump meminta Kongres meluluskan dana pertahanan tambahan berjumlah hampir AS$90 bilion (RM368 bilion) hingga mencetuskan satu lagi pertikaian dengan ahli Kongres yang yang tidak berpuas hati dengan perang itu menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November depan.

Perang tanpa objektif jelas itu telah memberi tekanan kepada bajet Pentagon yang hampir mencecah AS$1 trilion (RM4.09 trilion) dan berisiko menjejaskan peruntukan bagi kebajikan anggota tentera.

Selain itu, Pentagon mungkin berdepan kesukaran dengan kos penyelenggaraan dan pelaburan keupayaan ketenteraan pada masa depan.

Hegseth bukan hanya menggesa Kongres meluluskan permintaan dana tambahan itu malah menyokong permintaan bajet AS$1.5 trilion (RM6.13 trilion) bagi tahun 2027.

Sejak AS dan Israel mula mengebom Iran pada 28 Februari, Kongres mendakwa Trump gagal memberikan butiran jelas mengenai konflik tersebut dan rancangan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Jumlah anggota tentera AS yang terbunuh dalam perang Iran juga meningkat kepada 18 orang manakala kira-kira 430 anggota lain dilaporkan cedera.

Sejak minggu lalu, Trump memberi isyarat perang mungkin diperhebatkan ke atas sasaran baharu termasuk infrastruktur tenaga, jambatan, hab minyak Pulau Kharg dan 'kubu nuklear' di Pickaxe Mountain. - Agensi

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!