Tabika Kemas PPR Paya Nahu 2 tidak terlibat tindakan perobohan

SUNGAI PETANI - Tabika Kemas Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu 2 di sini dibenarkan terus beroperasi dan tidak terlibat dengan tindakan perobohan binaan haram yang dilaksanakan pada Selasa, seperti tular di media sosial.
Setiausaha Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Noorulhuda Mohammed Ali berkata, tindakan penguatkuasaan ketika ini menumpukan kepada binaan garaj kereta dan stor yang didirikan tanpa kebenaran dalam kawasan PPR tersebut.
"Telah berlaku salah faham berkenaan isu Tabika Kemas di PPR Paya Nahu 2 yang dikatakan turut terlibat dalam operasi penguatkuasaan pada hari ini.
"Untuk makluman, Bahagian Perumahan tiada ketegahan untuk Tabika Kemas tersebut beroperasi namun untuk binaan gerai tanpa kebenaran, kita telah memberikan notis tempoh 30 hari kepada pemilik binaan gerai merobohkan dan mengosongkan binaan tersebut," katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan Tabika Kemas yang menyediakan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak di kawasan itu turut dikenakan tindakan perobohan dalam operasi terbabit.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, tindakan penguatkuasaan terhadap binaan gerai tidak dilaksanakan pada Selasa memandangkan ia tertumpu kepada garaj kereta dan stor terlebih dahulu.
Jelas beliau, tindakan terbabit dilaksanakan kerana didapati terdapat binaan tanpa kebenaran atas tapak letak kereta awam yang telah disalahguna.
"Selain itu, binaan tersebut juga telah menghalang kerja-kerja penyelenggaraan dan penyampaian perkhidmatan oleh pihak berkuasa," katanya.
Menurut Noorulhuda, Bahagian Perumahan telah mengeluarkan notis kepada penghuni terlibat pada 14 Julai lalu dan tempoh selama tujuh hari dan 30 hari telah diberikan bergantung kepada jenis struktur binaan yang didirikan tanpa kebenaran.

"Operasi pada hari ini hanya melibatkan 12 blok sahaja iaitu Blok 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9, 20, 21 dan 22. Operasi ini akan diteruskan ke blok-blok lain secara berperingkat sehingga selesai.
"Pelaksanaan operasi ini bertujuan memastikan kawasan PPR Paya Nahu 2 sentiasa teratur, bersih dan selamat serta mematuhi syarat-syarat penyewaan seperti yang telah ditetapkan," jelas beliau.
Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua penghuni yang telah memberikan kerjasama baik sepanjang operasi berlansung.
"Ucapan terima kasih juga kepada semua agensi terlibat khususnya Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Muda, Tenaga Nasional Berhad serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar atas komitmen diberikan dalam menjayakan operasi ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


