Marahkan suami curang, isteri roboh rumah

Sebuah rumah dirobohkan gara-gara konflik rumah tangga yang didakwa berpunca daripada kehadiran wanita lain.
Sebuah rumah dirobohkan gara-gara konflik rumah tangga yang didakwa berpunca daripada kehadiran wanita lain.
A
A
A

JAKARTA – Sebuah rumah yang dibina hasil titik peluh seorang pekerja migran wanita Indonesia (TKW) selama bertahun-tahun di Hong Kong akhirnya dirobohkan gara-gara konflik rumah tangga yang didakwa berpunca daripada kehadiran wanita lain.

Kejadian berlaku di Desa Tlogoagung, Kecamatan Kedungadem, Kabupaten Bojonegoro, Jawa Timur pada Isnin apabila sebuah jentera pengorek digunakan untuk meratakan rumah berkenaan yang dibina daripada wang hasil kerja keras wanita dikenali sebagai NK, 48.

Proses merobohkan rumah itu menarik perhatian penduduk sekitar yang menyaksikan bangunan berkenaan musnah sedikit demi sedikit sehingga hanya tinggal timbunan puing.

Menurut laporan media tempatan, rumah berukuran kira-kira 9 meter x 11 meter itu dibina hasil wang yang dihantar NK ketika bekerja sebagai pekerja migran di Hong Kong selepas pasangan itu berkahwin pada 2019.

Bagaimanapun, rumah yang menjadi simbol perjuangan pasangan tersebut akhirnya tidak dapat diselamatkan selepas hubungan mereka dilanda krisis.

Ketua Polis Sektor Kedungadem, AKP Suiswanto mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pembongkaran tersebut berkaitan masalah rumah tangga.

“Benar berlaku pembongkaran rumah menggunakan alat berat di Desa Tlogoagung berkaitan masalah rumah tangga,” katanya.

Didakwa suami menjalinkan hubungan dengan wanita lain

Polis memaklumkan konflik pasangan itu dipercayai tercetus selepas suami NK, dikenali sebagai P, 35, didakwa menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan mengenai kehadiran wanita idaman lain (WIL) itu dipercayai menjadi punca keretakan hubungan pasangan berkenaan sehingga membawa kepada keputusan merobohkan rumah yang dibina bersama.

“Permasalahan bermula apabila didakwa saudara P menjalinkan hubungan asmara dengan perempuan lain,” kata Suiswanto.

Rumah musnah dalam beberapa minit

Sebelum kerja pembongkaran dilakukan, semua barangan dalam rumah tersebut dikeluarkan oleh penduduk dan pekerja sebelum dipindahkan menggunakan sebuah lori.

Tidak lama selepas jentera pengorek mula beroperasi, bahagian dinding, bumbung dan struktur utama rumah itu runtuh satu demi satu sehingga keseluruhan bangunan rata dengan tanah.

Polis memaklumkan pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 2019 dan pembongkaran dilakukan atas keputusan berkaitan konflik keluarga.

Kiriman wang bertahun-tahun berakhir sia-sia

Sepanjang bekerja di Hong Kong, NK dilaporkan sering mengirimkan wang kepada suaminya untuk tujuan membina rumah tersebut.

Bangunan itu sebelum ini menjadi hasil usaha kerasnya mencari rezeki di luar negara, namun akhirnya musnah selepas rumah tangga mereka berdepan masalah.

Kejadian berkenaan turut menjadi perhatian ramai apabila penduduk setempat berpusu-pusu hadir melihat proses pembongkaran, malah ada yang merakam detik tersebut menggunakan telefon bimbit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!