Kereta terbabas langgar beberapa motosikal parkir di bahu jalan

Foto tular memaparkan beberapa motosikal yang dilanggar dalam kemalangan pada Isnin.
Foto tular memaparkan beberapa motosikal yang dilanggar dalam kemalangan pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta Perodua Bezza dipercayai terbabas sebelum melanggar beberapa motosikal yang diparkir di bahu jalan di Jalan Santuari Utama dari arah Prima Setapak menghala ke Wangsa Maju pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang turut tular di media sosial membabitkan kes itu.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada jam 5.30 pagi, ketika kenderaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun itu sedang bergerak di lorong paling kiri sebelum mengelak sebuah motosikal yang keluar dari simpang di sebelah kanan.

“Tindakan tersebut menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan terbabit terbabas dan melanggar beberapa motosikal yang diparkir di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pemandu kereta itu, manakala identiti pemilik motosikal yang terlibat masih sedang dikesan.

Mohd Zamzuri berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan pemandu serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Kita juga sedang mengesan pemilik motosikal serta mencari saksi bebas bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!