Maritim pantau dakwaan penyeludupan PATI melalui pesisir pantai negara

ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang memantau dakwaan berhubung penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui pesisir pantai negara seperti tular di media sosial.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya memandang serius setiap maklumat yang diterima berkaitan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Justeru katanya, setiap maklumat diterima akan dinilai, disemak dan disahkan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
"Setiap maklumat risikan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya bagi memastikan sempadan maritim negara sentiasa terkawal, selamat dan terpelihara," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, satu hantaran di media sosial tular berhubung dakwaan beberapa buah bot dipercayai cuba menyeludup PATI melalui pesisir pantai Kuala Muda, Kuala Kedah, Yan dan Pulau Pinang.
Ramli berkata, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius setiap maklumat yang diterima berkaitan ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Pihaknya juga turut mempertingkat tahap kesiapsiagaan operasi melalui rondaan berterusan, pemantauan berasaskan risikan dan kerjasama strategik bersama agensi keselamatan lain bagi membanteras sebarang cubaan pencerobohan atau kemasukan PATI melalui laluan laut.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
"Setiap maklumat risikan akan disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya bagi memastikan sempadan maritim negara sentiasa terkawal, selamat dan terpelihara," katanya.
Dalam pada itu, Ramli menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya berhubung kejadian.
Menurutnya, ia bagi mengelakkan berlaku keresahan dalam kalangan masyarakat serta berisiko mengganggu usaha pemantauan, risikan dan penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan pihak berkuasa.
"Orang ramai diminta mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan dakwaan yang belum dipastikan kesahihan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan masyarakat," katanya
Beliau juga turut meminta masyarakat pesisir pantai, komuniti nelayan dan pengguna laut agar terus memainkan peranan sebagai mata serta telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.
"Jangan gambil tindakan sendiri terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan, sebaliknya menyalurkan maklumat segera kepada pihak berkuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

