Lantik individu berpengalaman dalam GLC: PKR

Mohamad Suparadi Md Noor
Mohamad Suparadi Md Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan melahirkan kekecewaan terhadap kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan di atas kenyataan beliau bahawa semua Ahli Parlimen kerajaan akan dilantik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata, sebarang pelantikan perlu berasaskan kepada pengalaman individu terbabit untuk membawa kebaikan kepada GLC yang terlibat.

Menurutnya, kemampuan Ahli Parlimen tersebut perlu diterjemahkan kepada kebaikan untuk kerajaan, masyarakat dan rakyat bukan sekadar hanya memenuhi kerusi untuk orang politik semata-mata.

"Asas yang perlu diambil kira ialah latar belakang individu tersebut iaitu adalah pengalaman mereka dalam bidang kewangan dan pengurusan.

"Tidak salah melantik mana-mana individu asalkan layak mengikut kriteria tertentu. Bukan hanya disebabkan MP semata mata," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, ianya penting dalam memastikan kelangsungan dan penambahbaikan institusi tersebut dan bukan sekadar duduk di kerusi yang hanya mendapat elaun dan ganjaran.

"Kebanyakan GLC tersebut mempunyai dana yang cukup besar dan perlu diurus dengan baik.

“Memang benar setiap GLC itu ada ketua eksekutif yang mengurus institusi tersebut, tetapi ianya harus bersandarkan kepada dasar dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah atau pemegang amanah dilantik.

Artikel Berkaitan:

"Di sinilah pentingnya pengetahuan dan pengalaman setiap yang dilantik oleh pihak kerajaan yang sedia ada," katanya.

Mohamad Suparadi turut tidak menafikan bahawa terdapat sesetengah ahli politik yang memiliki kemahiran dan pengalaman, tetapi tidak semua.

Jadi, jelas beliau, kenyataan untuk melantik kesemua MP itu tanpa mengambil kira kelayakan mereka adalah sesuatu yang tidak kena.

"Sebagai contoh saya tidak membantah pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah dikatakan akan dilantik sebagai Pengerusi Petronas kerana beliau mempunyai pengalaman luas serta latar belakang pengurusan yang baik.

"Individu sebegini memang layak, bukan hanya melantik kesemuanya berdasarkan tujuan politik semata-mata tanpa mengira latar belakang serta pengalaman kerana setiap institusi harus menjana pendapatan dan mengurus kewangan dengan baik," katanya.

Mohamad Suparadi juga bekas Pengerusi Tekun berkata, kelangsungan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada tiga segmen penting iaitu kerajaan melalui dasar kewangan negara, sektor swasta yang menjalankan perniagaan dan GLC sebagai 'vechicle' kerajaan untuk bersama-sama menjalankan perniagaan.

"Hanya bezanya GLC ini lebih ke arah membantu kerajaan menjana hasil pendapatan kerana kerajaan itu sendiri tidak boleh menjalankan sebarang perniagaan.

"Justeru itu, setiap individu yang hendak dilantik mestilah mempunyai latar belakang pengurusan dan kewangan supaya agensi-agensi itu lebih kompeten dan berintegriti," katanya.