Pembelaan Kapten tentera terima semua dokumen kes pandu secara mabuk

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini pada Selasa dimaklumkan bahawa semua dokumen berkaitan dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan membabitkan seorang pegawai tentera berpangkat kapten, telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri berkata demikian ketika sebutan semula kes dihadapi Jad Faid Arhan, 31, di hadapan Majistret, Aliaa Anwar.
Peguam, Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah yang mewakili tertuduh kemudian mengesahkan perkara tersebut.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula bagi mendapatkan perkembangan status kes.
Selepas prosiding, Muhammad Nazreen berkata, bagi kes trafik, pihaknya telah menerima laporan kimia berhubung bacaan alkohol, gambar lokasi kejadian serta laporan perubatan.

Bagaimanapun bagi pertuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di hadapan Majistret, Heng Yi Min, beliau berkata, laporan bedah siasat dan laporan kimia masih belum diterima.
Katanya, mahkamah menetapkan tarikh sama sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan kes bunuh, dia yang memakai baju T berkolar warna merah didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian pempengaruh, 'Advance Gaming' yang juga warga Bangladesh, Muzahid Millad, 22.
Kesalahan didakwa dilakukan di KM 1.9 Lebuh Raya Maju (MEX) dari arah Salak Selatan ke Jalan Tun Razak, jam 5.30 pagi pada 23 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Sementara kes trafik, mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa sebagai pemandu kereta jenis Ford Fiesta telah memandu di atas jalan raya di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga menyebabkan dirinya tidak berdaya mengawal kenderaan berkenaan.
Perbuatan berkenaan menyebabkan kecederaan kepada dua individu iaitu penumpang yang juga isteri Muzahid iaitu Nafisa Tabassum Adiba, 21, dan pemandu e-hailing, Jailani Sapih, 41, di lokasi, masa dan tarikh serupa.
Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, polis mengesahkan berlaku kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dan sebuah kereta Ford Fiesta di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera itu telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kemalangan menyebabkan seorang penumpang e-hailing maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala isterinya mangsa dan pemandu e-hailing cedera parah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

