Bekas tentera didakwa miliki senapang, peluru secara haram

Suhaimi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas lima pertuduhan memiliki senapang, senapang angin serta senapang angin tiruan dan peluru secara haram pada awal bulan ini. Foto Bernama
Suhaimi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas lima pertuduhan memiliki senapang, senapang angin serta senapang angin tiruan dan peluru secara haram pada awal bulan ini. Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Seorang bekas tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas lima pertuduhan memiliki senapang, senapang angin dan senapang angin tiruan serta peluru secara haram pada awal bulan ini.

Suhaimi Che Din, 49, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu dituduh memiliki selaras senapang jenis CZ 457 Premium.22R berserta satu kelopak mengandungi dua butir peluru kaliber.22R di Kebun Kampung Wang Pisang tepi Taman Beseri Jaya, Beseri dekat Padang Besar pada jam 12.45 tengah malam, 5 Julai lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan disebat tidak kurang enam kali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki itu masing-masing dituduh memiliki empat senapang angin iaitu jenis Umarex Gauntlet 2; Model X-1; Greyhound T-Rex Bullpup dan Sharp Tiger serta dia dituduh memiliki 21 butir peluru 12 Bore jenis 12 Bore Buckshot dan 300 butir peluru.22 Rimfire (RF) jenis.22RF Long Rifle di lokasi, masa dan tarikh sama dengan pertuduhan pertama.

Suhaimi didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 bagi pertuduhan kedua dan ketiga itu yang boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.

Lelaki terbabit juga berdepan pertuduhan memiliki empat laras senapang angin tiruan jenis Greyhound Model AP900 serta tiga laras senapang angin buatan sendiri di lokasi sama mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Dia didakwa di bawah Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, dia didakwa memiliki 137 butir amunisi pelbagai jenis tanpa kebenaran di sebuah pangsapuri di sini pada jam 5.30 pagi, 5 Julai lepas, juga mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, empat daripada pertuduhan itu sepatutnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, namun prosiding dijalankan di hadapan Ana Rozana memandangkan hakim mahkamah berkenaan bercuti.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes serta memindahkan semula empat pertuduhan berkenaan ke Mahkamah Sesyen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Suzila Chek Pi, manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!