Fahmi arah MCMC siasat dakwaan kebocoran data Khairul Aming

Fahmi dan laporan Sinar Harian mengenai kebocoran data peribadi melibatkan pempengaruh terkenal, Khairul Aming.
Fahmi dan laporan Sinar Harian mengenai kebocoran data peribadi melibatkan pempengaruh terkenal, Khairul Aming.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran data peribadi melibatkan pempengaruh terkenal, Khairul Aming.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa syarikat telekomunikasi yang dikaitkan dengan insiden tersebut sedang menghubungi usahawan itu bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Ini satu perkara yang merisaukan kerana aduan yang dibuat melalui Threads daripada Khairul Aming memberi bayangan individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi serta sistem milik sebuah syarikat telekomunikasi.

"Saya minta pihak MCMC mendapatkan laporan penuh dan sekiranya ada mana-mana pihak yang mengalami insiden serupa, sila buat laporan supaya kita mempunyai rekod, maklumat dan bukti untuk tindakan susulan," katanya pada sidang media selepas merasmikan International Regulators Conference (IRC) 2026, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Khairul Aming menerusi hantaran di Threads mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain sehingga didedahkan secara terbuka di media sosial.

Pempengaruh itu juga meminta penjelasan daripada pihak telco mengenai dakwaan kebocoran maklumat bil telefon peribadinya yang dikaitkan dengan seorang pengguna media sosial.

Ia susulan seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming, termasuk menyatakan terdapat tunggakan sebanyak RM498 selain mengaitkannya dengan beberapa perkhidmatan tambahan.

Dalam pada itu, Fahmi menegaskan, penyebaran maklumat yang boleh mengenal pasti identiti seseorang atau personally identifiable information (PII) merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Sehubungan itu ujarnya, tindakan susulan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja menyebarkan maklumat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga menggesa mangsa membuat laporan polis dan laporan kepada MCMC supaya siasatan dapat dijalankan dengan lebih berkesan," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!