Kenapa dengan Khairul Aming?

KES kebocoran data peribadi melibatkan usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming wajar membuka mata semua pihak bahawa isu data peribadi bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan.
Apa yang menjadi persoalan bukanlah jumlah bil telefon atau sama ada ia telah dibayar, sebaliknya bagaimana maklumat yang sepatutnya hanya diketahui oleh pemilik akaun dan penyedia perkhidmatan boleh tersebar kepada pihak lain sebelum dikongsi secara terbuka di media sosial.
Lebih membimbangkan, perkongsian itu dipercayai bermula daripada tindakan seorang wanita yang memuat naik maklumat berkenaan di Threads.
Wanita itu mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming termasuk menyatakan terdapat tunggakan sebanyak RM498, selain mengaitkannya dengan beberapa perkhidmatan tambahan (add-onn digital purchase).
Bagaimanapun, Khairul Aming menjelaskan jumlah bil berkenaan bukan isu utama kerana ia adalah urusan peribadinya.
ARTIKEL BERKAITAN:&tbsp;'Ini data peribadi saya' - Khairul Aming persoal kebocoran bil telefon di Threads
Maxis kenal pasti individu insiden kebocoran maklumat Khairul Aming
Data peribadi Khairul Aming bocor: JPDP buka siasatan
Mungkin niat wanita itu sekadar hanya untuk bergurau, mencari perhatian atau sekadar mahu kandungan itu tular.
Bagaimanapun, apa yang dianggap sekadar suka-suka akhirnya bertukar menjadi isu yang jauh lebih besar.
Ia bukan sahaja mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan data pelanggan, malah mengundang siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
Tidak terhenti di situ, Khairul Aming sendiri kini turut mengambil tindakan undang-undang dengan membuat empat laporan kepada pihak berkuasa dan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada sebuah syarikat telekomunikasi.
Hakikatnya, kebocoran data peribadi bukan sekadar melibatkan seorang selebriti atau pempengaruh.
Hari ini mangsanya Khairul Aming, esok mungkin orang biasa.
Jika maklumat seperti nombor telefon, alamat, rekod bil atau butiran akaun boleh diakses dan dikongsi sewenang-wenangnya, sudah tentu ia membuka ruang kepada pelbagai jenayah seperti penipuan, penyamaran identiti, gangguan serta penyalahgunaan maklumat.
ARTIKEL BERKAITAN: Data peribadi bocor: Khairul Aming buat empat laporan, hantar LOD kepada Maxis
Fahmi arah MCMC siasat dakwaan kebocoran data Khairul Aming
Lebih membimbangkan apabila data pelanggan yang sepatutnya dilindungi menjadi bahan perbualan atau kandungan media sosial demi meraih tontonan, tanda suka dan perkongsian.
Justeru, sesiapa pun diingatkan jangan sesekali menganggap tindakan memuat naik maklumat orang lain sebagai perkara remeh atau sekadar hiburan.
Dalam dunia digital, satu hantaran yang dibuat dalam beberapa saat boleh meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Hormati privasi orang lain sebagaimana kita mahu privasi kita dihormati.
Apa yang berlaku kepada Khairul Aming wajar dijadikan iktibar agar kita lebih berhati-hati sebelum kongsi sebarang maklumat peribadi individu lain.
Jika budaya menghormati privasi dipupuk, insiden seperti ini dapat dielakkan dan kepercayaan masyarakat terhadap keselamatan data akan terus terpelihara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

