Isu bekalan air, naik taraf infrastruktur jadi keutamaan di DUN Jeram Padang - Calon PH

JEMPOL - Isu bekalan air dan menarik taraf infrastruktur antara yang menjadi keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G Manivanan dalam usaha memastikan penduduk menikmati kemudahan asas yang lebih baik, moden dan berkualiti.
Menurut Manivaran, beliau akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan penyelesaian isu-isu yang telah lama membelenggu penduduk.
"Antara keutamaan yang akan diberi perhatian ialah menaik taraf jalan raya yang rosak dan uzur, memastikan bekalan air bersih yang mencukupi, memperkukuh sistem bekalan elektrik yang lebih stabil serta memperluaskan liputan internet berkelajuan tinggi agar semua penduduk dapat menikmati akses digital yang lebih baik.
"Isu bekalan air juga akan menjadi antara fokus utama yang perlu diselesaikan," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Ziarah Kasih bersama Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Felda Palong 2, di sini, pada Isnin.
Ujarnya, penduduk di beberapa kawasan, khususnya Sungai Raya, kebelakangan ini terpaksa berdepan gangguan bekalan air sehingga empat hingga lima hari tanpa bekalan.
Katanya, selain itu, terdapat juga beberapa kawasan lain di Jeram Padang yang sering mengalami masalah tekanan air yang rendah, bekalan yang tidak stabil dan gangguan berulang sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk.
"Saya komited untuk membawa isu ini kepada pihak berwajib bagi mempercepatkan penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan supaya setiap penduduk dapat menikmati bekalan air yang mencukupi, stabil dan berkualiti.
"Di samping itu, kemudahan awam seperti balai raya, taman rekreasi, kemudahan sukan, sistem perparitan dan lampu jalan juga akan terus dipertingkatkan mengikut keperluan setiap kawasan.
"Pembangunan yang seimbang tidak seharusnya hanya tertumpu di bandar, malah masyarakat di Felda, Felcra, penempatan semula penduduk estet, taman perumahan dan perkampungan Orang Asli juga berhak menikmati kemudahan asas yang berkualiti," katanya.
Beliau berkata, sebagai komitmen Kerajaan Madani, beberapa projek penggantian paip di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah diluluskan bagi menangani isu bekalan air di Jeram Padang.
Ujarnya, antaranya melibatkan penggantian paip dari Loji Rawatan Air Kuala Jelai ke Rompin sepanjang 15 kilometer, penggantian paip di jajaran outlet Kolam Felda Palong 1 sepanjang empat kilometer serta penggantian paip di Jalan Kesuma, Felda Palong 1 sepanjang 1.3 kilometer yang kini berada pada peringkat reka bentuk.
Selain itu, katanya, beberapa cadangan penyambungan paip di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut dirancang membabitkan Kampung Sungai Kelebang, Kampung Sungai Raya, Kampung Sungai Temarom, Kampung Lubuk Temenggalan dan Kampung Jeram Padang.
"Saya akan terus memantau perkembangan setiap projek ini agar pelaksanaannya dapat dipercepatkan demi kesejahteraan rakyat.
"Saya percaya pelaburan dalam infrastruktur bukan sahaja meningkatkan keselesaan hidup rakyat, malah mampu merancakkan ekonomi setempat, menarik pelaburan baharu serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
