PRN Negeri Sembilan: PH kesal bendera parti dibakar, dirosakkan

Bendera PH dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab. Foto ihsan PH
Bendera PH dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab. Foto ihsan PH
A
A
A

SEREMBAN - Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) menerima beberapa laporan berhubung kerosakan bahan kempen di beberapa kawasan sejak malam Ahad.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Sekretariat Pusat Media Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan PH, dimaklumkan kejadian berlaku di kawasan DUN Palong dan DUN Chembong.

"Laporan yang diterima melibatkan kerosakan bendera yang dibakar di DUN Palong malam tadi dan pancang bendera yang rosak atas perbuatan khianat di N31 DUN Chembong pagi ini.

"Kami ingin memaklumkan bahawa kami berhak mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan (kerana melakukan khianat) sekiranya terbukti bahan kempen pilihan raya seperti poster, bendera atau sepanduk dikhianati, dirosakkan, atau diturunkan oleh pihak lawan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Bendera PH yang didakwa dirosakkan pihak bertanggungjawab. Foto ihsan PH
Bendera PH yang didakwa dirosakkan pihak bertanggungjawab. Foto ihsan PH

Menurutnya, PH tidak berniat menunding jari kepada mana-mana pihak, namun pengarah Pilihan Raya Bilik Gerakan DUN telah pun dinasihatkan untuk membuat laporan yang sewajarnya.

Justeru, pihaknya menyeru agar perkara seumpama ini tidak melarat sekali gus menjadi budaya dalam kalangan penggiat politik dalam negara ini.

"Kami juga berharap seluruh anggota dan jentera PH tidak membalas semula perbuatan ini yang mungkin dilakukan oleh pihak yang mahu mengeruhkan keadaan.

Artikel Berkaitan:

"Berkempenlah dengan sihat kerana hak untuk berpolitik dan berkempen termaktub secara tidak langsung dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan melalui beberapa peruntukan Kebebasan Asasi (Bahagian II) serta hak politik asas lain," katanya.

Tambahnya, menangilah hati rakyat dan pengundi dengan dasar polisi yang jelas, bukannya politik khianat kebencian yang tidak berasas sama sekali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!