Tiada kesihatan tanpa kesihatan pergigian: Daripada kesedaran kepada tindakan

PADA 8 Julai 2026, Auditorium Institut Sosial Malaysia (ISM) menjadi lokasi berlangsungnya Program Hari Gigi Sihat Institut Sosial Malaysia sempena Minggu Promosi Kesihatan Pergigian (MPKP) Peringkat Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Tahun 2026.
Penganjuran hasil kerjasama strategik antara Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ini bukan sekadar menghimpunkan pakar pergigian, penjawat awam dan masyarakat dalam satu program kesihatan, malah membawa mesej yang jauh lebih besar melalui tema "Tiada Kesihatan Tanpa Kesihatan Pergigian".
Tema tersebut menegaskan bahawa kesihatan pergigian bukan sekadar berkaitan gigi dan mulut, tetapi merupakan sebahagian daripada kesihatan menyeluruh yang mempengaruhi fizikal, pemakanan, komunikasi, keyakinan diri dan kualiti hidup.
Walaupun kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan semakin meningkat, hakikatnya masih ramai yang hanya mendapatkan rawatan pergigian apabila mengalami kesakitan, sedangkan ketika itu penyakit mungkin telah berkembang ke tahap yang lebih kompleks.
Dalam ucapan aluannya, Pengarah Institut Sosial Malaysia berkata, inisiatif itu mencerminkan pendekatan ℎ--, ℎ-- dalam memperkukuh usaha meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.
Majlis pelancaran Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2026 disempurnakan Timbalan Pengarah Kesihatan (Pergigian), Dr. Mustaffa Jaapar yang menegaskan bahawa program ini merupakan satu dalam menterjemahkan dasar kesihatan awam kepada tindakan yang nyata di peringkat akar umbi melalui kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat.
Antara pengisian yang paling mendapat perhatian ialah forum kesihatan pergigian yang membincangkan tema "Tiada Kesihatan Tanpa Kesihatan Pergigian" daripada perspektif kesihatan awam, klinikal dan komuniti.
Perbincangan tersebut memberi gambaran jelas bahawa penjagaan kesihatan pergigian perlu dilihat secara holistik kerana kesannya melangkaui rongga mulut.
Dalam forum tersebut, Dr. Izni Iwani Majid, Pakar Pergigian Periodontik, menjelaskan bahawa penjagaan kesihatan pergigian mempunyai hubungan yang rapat dengan kesihatan keseluruhan tubuh.
Beliau berkata, penyakit gusi bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan mulut, malah mempunyai kaitan dengan penyakit sistemik seperti diabetes dan kardiovaskular.
"Apabila kesihatan pergigian diabaikan, kesannya boleh mempengaruhi tahap kesihatan seseorang secara keseluruhan," katanya.
Panel seterusnya turut menyeru masyarakat agar membudayakan amalan penjagaan kesihatan mulut kendiri bersama keluarga, beriltizam untuk mengekalkan amalan tersebut secara konsisten serta berkata tidak kepada penyakit pergigian melalui amalan pencegahan yang berterusan.
Sebagai Ikon Gigi dan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang turut diberi peluang menjadi panel forum, penulis melihat bahawa cabaran terbesar dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat bukanlah kekurangan maklumat, tetapi kesukaran mengubah pengetahuan kepada amalan harian.
Hampir semua orang mengetahui bahawa gigi perlu diberus sekurang-kurangnya dua kali sehari dan pemeriksaan pergigian perlu dilakukan secara berkala.
Namun begitu, masih ramai memilih untuk menangguhkan pemeriksaan sehingga mengalami kesakitan atau ketidakselesaan.
Pengalaman mendekati pelbagai lapisan masyarakat melalui program promosi kesihatan turut menunjukkan bahawa masih wujud persepsi bahawa rawatan pergigian hanya diperlukan apabila berlaku masalah.

Hakikatnya, pemeriksaan berkala bertujuan mengesan penyakit pada peringkat awal sebelum menjadi lebih serius. Sikap bertangguh inilah yang perlu diubah sekiranya kita benar-benar ingin melahirkan masyarakat yang mengutamakan kesihatan.
Oleh itu, pendidikan kesihatan pergigian perlu diperkasakan melalui pendekatan yang lebih kreatif, interaktif dan dekat dengan masyarakat.
Penggunaan media sosial, aktiviti komuniti serta penglibatan institusi pendidikan dan golongan belia sebagai ejen perubahan mampu meningkatkan kesedaran serta menggalakkan amalan penjagaan kesihatan pergigian.
Dalam era digital hari ini, maklumat yang tepat perlu disampaikan melalui medium yang dekat dengan masyarakat agar kesedaran dapat diterjemahkan kepada tindakan.
Selain forum, pelbagai pameran daripada bidang pergigian restoratif, periodontik, ortodontik dan pergigian keperluan khas memberi peluang kepada peserta mengenali perkhidmatan pergigian secara lebih dekat.
Kehadiran klinik pergigian bergerak yang menawarkan pemeriksaan dan rawatan asas selama tiga hari bermula membuktikan komitmen Bahagian Kesihatan Pergigian dalam memperluas akses perkhidmatan kepada masyarakat.
Pendekatan membawa perkhidmatan terus kepada komuniti merupakan antara strategi terbaik untuk menggalakkan orang ramai mendapatkan pemeriksaan awal dan mengurangkan halangan terhadap akses kesihatan.
Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan, kejayaan sebenar sesuatu program bukan diukur melalui jumlah peserta atau bilangan aktiviti yang dijalankan, tetapi melalui perubahan sikap dan amalan masyarakat.
Amalan mudah seperti memberus gigi dengan teknik yang betul, mengurangkan pengambilan gula, menggunakan flos serta menjalani pemeriksaan pergigian secara berkala mampu memberikan impak besar terhadap kesihatan.
Program Hari Gigi Sihat Institut Sosial Malaysia membuktikan bahawa usaha meningkatkan kesedaran masyarakat memerlukan kerjasama semua pihak.
Institusi kerajaan, sektor pendidikan, profesional kesihatan, mahasiswa dan komuniti mempunyai peranan yang saling melengkapi dalam membentuk budaya pencegahan penyakit pergigian.
Apabila pendidikan kesihatan digerakkan secara bersepadu, mesej yang disampaikan bukan sekadar meningkatkan pengetahuan, bahkan mampu membentuk nilai, sikap dan amalan yang berkekalan.
Akhirnya, tema "Tiada Kesihatan Tanpa Kesihatan Pergigian" bukan sekadar slogan yang menghiasi pentas forum, tetapi satu seruan agar masyarakat mengubah cara berfikir terhadap penjagaan kesihatan mulut.
Kesihatan pergigian bukan sekadar tentang memiliki senyuman yang cantik, sebaliknya merupakan pelaburan terhadap kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat.
Perubahan itu tidak bermula di klinik pergigian, tetapi bermula daripada keputusan yang kita buat setiap hari untuk menjaga diri. Kerana sesungguhnya, tiada kesihatan tanpa kesihatan pergigian.
*Ahmad Rafiuddin Saharudin ialah Ikon Gigi dan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Kejurulatihan), Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
