Isu keahlian Bersatu gugur: Marzuki bidas Annuar Musa, dakwa PN kini 'toksik'

Tangkap layar hantaran Marzuki Mohamad.
Tangkap layar hantaran Marzuki Mohamad.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan itu tergugur secara automatik mengundang kritikan.

Teguran itu disuarakan oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak tepat.

Dr Marzuki menegaskan, tiada sebarang peruntukan atau fasal di dalam Perlembagaan PN yang menyatakan keahlian sesebuah parti boleh tergugur secara serta-merta.

"Bacalah Perlembagaan PN. Tidak ada fasal mengenai tergugur keahlian serta-merta dalam Perlembagaan PN," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Sabtu.

Terdahulu, Annuar dilaporkan sebuah portal berita mendakwa keahlian Bersatu dalam PN tergugur secara automatik mengikut konvensyen, susulan tindakan parti itu meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Marzuki, sekiranya terdapat usaha untuk memecat Bersatu daripada gabungan itu, perkara berkenaan mestilah dibawa dan diputuskan secara rasmi melalui saluran dalaman parti.

Beliau menjelaskan, tindakan pemecatan tersebut perlu melalui kelulusan Majlis Tertinggi dan Majlis Presiden gabungan berkenaan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan sah boleh diambil.

"Kalau nak pecat Bersatu kena bawa dalam Majlis Tertinggi dan Majlis Presiden. Jangan pakai konvensyen kalau ada peruntukan yang jelas dalam perlembagaan," tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai dinamik dan situasi semasa berlaku dalam gabungan berkenaan, Dr Marzuki secara terbuka menyifatkan keadaan dalaman PN ketika ini sudah menjadi 'toksik'.

Artikel Berkaitan:

"Walau apapun PN dah toksik," katanya lagi dalam hantaran sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!