Sanusi setuju tarik balik istilah UMDAP - Asyraf Wajdi

JEMPOL – Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersetuju menarik balik penggunaan istilah UMDAP susulan persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, perkara itu dibangkitkannya dalam suasana mesra dan berseloroh antara kedua-dua pemimpin tersebut.
"Saya minta beliau berbuat demikian (tarik balik istilah UMDAP) dalam suasana mesra dan saling berjenaka seusai proses Penamaan Calon di Jempol pagi tadi.
"Persefahaman yang terjalin antara Barisan Nasional (UMNO) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan kali ini untuk tidak bersaing, bertindih kerusi dan saling bekerjasama memenangkan semua calon-calon BN dan PN di semua 36 kerusi yang ditandingi," Katanya menerusi media sosial rasminya pada Sabtu.
UMDAP adalah istilah politik di Malaysia yang menggabungkan nama parti UMNO dan DAP.
Perkataan ini sering digunakan sebagai sindiran atau sentimen negatif oleh pihak lawan untuk menggambarkan kerjasama politik antara kedua-dua parti tersebut di bawah Kerajaan Perpaduan.
Jelas Asyraf Wajdi, kerjasama itu diharap menjadi titik permulaan kepada penyatuan yang lebih besar demi kepentingan umat dan kestabilan politik negara.
Menurutnya, dalam politik tiada musuh atau kawan yang kekal, justeru semua pihak perlu berpegang kepada prinsip serta akhlak Islam dalam membina hubungan dan menghadapi perbezaan.
"Moga-moga ia menjadi pencetus kepada suatu jajaran penyatuan ummah yang lebih besar dan bermakna," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan supaya pendekatan sederhana diamalkan sama ada ketika berkawan mahupun berlawan dalam arena politik.
Mengulas kempen PRN Negeri Sembilan, Asyraf Wajdi berkata, perkara paling penting ialah kesefahaman yang terjalin antara parti-parti terlibat bagi memastikan kemenangan calon yang bertanding.
"Kita berkempen secara berhemah. Paling utama ialah apa yang kita hendak tawarkan kepada rakyat.
"Kita tawarkan yang terbaik untuk mereka. Asas kestabilan dapat dibina apabila wujud kerjasama dan kesefahaman antara parti-parti yang menjadi teras kepada orang Melayu dan orang Islam, demi kemakmuran serta kemajuan negeri," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

