JPA peraku 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada KKM

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperakukan pewujudan 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan implikasi kewangan RM6.7 bilion bagi memperkukuh sistem kesihatan awam negara.
JPA dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan telah memperakukan pewujudan 53,516 jawatan baharu tanpa tukar ganti bagi menyokong pengoperasian fasiliti kesihatan baharu, projek naik taraf fasiliti sedia ada serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat membabitkan impikasi kewangan RM4.5 bilion.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan pewujudan 12,796 jawatan tetap bagi tiga skim utama KKM iaitu Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi mulai 2022 sehingga 30 Jun lepas dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.2 bilion.
Menurut kenyataan itu, JPA bersama Kementerian Kewangan sedang meneliti permohonan pewujudan 13,000 jawatan baharu tanpa tukar ganti bagi menyokong pengoperasian 256 fasiliti kesihatan baharu dan yang dinaik taraf, dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM1.25 bilion.
"Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa usaha memperkukuh sistem kesihatan awam sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
"Pewujudan jawatan baharu, pengukuhan laluan kerjaya petugas kesihatan serta pembangunan fasiliti kesihatan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,” menurut kenyataan itu.
JPA memaklumkan berdasarkan Petunjuk Kesihatan Malaysia 2025 yang diterbitkan KKM, nisbah Pegawai Perubatan kepada penduduk di peringkat nasional kini berada pada sekitar 1:403, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan bagi 2026.
"Bagaimanapun, pencapaian tersebut tidak bermaksud semua fasiliti kesihatan mempunyai kapasiti sumber manusia yang sama.
"Terdapat perbezaan yang ketara dalam taburan Pegawai Perubatan antara negeri dan wilayah. Sebagai contoh, nisbah Pegawai Perubatan kepada penduduk di Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah sekitar 1:19, jauh melebihi purata nasional,” menurut kenyataan itu.
JPA memaklumkan yang statistik ini menunjukkan bahawa cabaran semasa bukan lagi semata-mata berkaitan pewujudan jawatan baharu.
"Sebaliknya, cabaran kini tertumpu kepada aspek pengagihan, penempatan dan penggunaan sumber manusia secara optimum supaya setiap hospital dan fasiliti kesihatan mempunyai kapasiti yang diperlukan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” menurut JPA.
Selain itu, hasil pemantauan JPA mendapati pengurusan Jawatan Simpanan Latihan (JSL) masih mempunyai ruang untuk diperkukuh, khususnya dalam mempercepatkan proses penyuraian Pegawai Perubatan yang telah menamatkan latihan kepakaran supaya dapat ditempatkan semula ke hospital dan fasiliti kesihatan dalam tempoh yang lebih singkat.
"Langkah ini penting bagi membolehkan Jawatan Simpanan Latihan dikosongkan dan digunakan semula oleh Pegawai Perubatan lain yang layak mengikuti latihan kepakaran.
"Berdasarkan rekod semasa, proses penempatan semula Pegawai Perubatan selepas menamatkan latihan kepakaran mengambil masa antara tiga nhingga 12 bulan sebelum mereka dapat diagihkan ke fasiliti kesihatan.
"Tempoh ini memberi implikasi kepada kitaran penggunaan Jawatan Simpanan Latihan kerana jawatan tersebut tidak dapat dimanfaatkan semula dengan segera oleh Pegawai Perubatan lain yang sedang menunggu peluang mengikuti latihan kepakaran,” menurut kenyataan itu.
JPA memaklumkan kadar tamat pengajian tepat pada masanya bagi Pegawai Perubatan yang mengikuti latihan kepakaran kini adalah sekitar 46 peratus.
Sehubungan itu, JPA berpandangan proses pemilihan calon, pemantauan pelaksanaan latihan serta pengurusan Jawatan Simpanan Latihan perlu terus diperkukuh bagi memastikan pegawai yang dipilih benar-benar bersedia dan berupaya menamatkan latihan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Langkah ini akan membantu meningkatkan kadar tamat pengajian tepat pada masanya, mengoptimumkan penggunaan Jawatan Simpanan Latihan, mempercepatkan laluan latihan Pegawai Perubatan baharu serta meningkatkan ketersediaan pakar di hospital dan fasiliti kesihatan,” menurut JPA.
JPA akan terus bekerjasama rapat dengan KKM dalam memperkukuh pembangunan sumber manusia sektor kesihatan melalui pewujudan perjawatan, pengurusan latihan kepakaran serta penambahbaikan tadbir urus yang berterusan demi memastikan sistem kesihatan awam negara kekal mampan dan berdaya saing. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
