Proses penamaan calon PRN Negeri Sembilan berjalan lancar - Polis

Alzafny ketika ditemui media selepas membuat tinjauan di pusat penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson pada Sabtu. Foto Bernama
Alzafny ketika ditemui media selepas membuat tinjauan di pusat penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung di lapan pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri hari ini berjalan lancar dan tiada situasi tidak diingini dilaporkan berlaku.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, semua penyokong parti mematuhi segala arahan pihak polis dan keadaan terkawal sepanjang tempoh penamaan calon sejak pagi sehingga tengah hari tadi.

"Di setiap PPC, terdapat antara 1,000 hingga 2,500 orang dan daripada maklumat diterima, di Jempol menunjukkan jumlah yang besar, iaitu penyokong parti-parti yang bertanding berjumlah lebih kurang 2,500 orang dan di Kuala Pilah menunjukkan penyokong yang paling sedikit, iaitu lebih kurang 1,000 orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Auditorium Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini, Sabtu.

Alzafny berkata, sebanyak 2,373 pegawai dan anggota polis ditugaskan di kesemua PPC bagi kawalan keselamatan dan lalu lintas.

Beliau turut menasihati calon PRN Negeri Sembilan supaya menjalankan aktiviti berkempen, khususnya ceramah dan sebarang program dengan tidak menyentuh perkata sensitif dan berkaitan 3R (agama, raja dan kaum) atau berunsur provokasi, hasutan dan fitnah yang boleh menimbulkan kebencian dan perpecahan kaum.

"Pihak polis berharap semua parti yang bertanding, khususnya kepada calon, supaya menyampaikan segala ceramah dengan menunjukkan kekuatan parti masing-masing tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai," katanya.

Alzafny berkata, calon berkempen juga dinasihatkan mematuhi peraturan seperti memakai topi keledar ketika menaiki motosikal dalam tempoh berkempen di kawasan kampung dan perumahan penduduk.

"Kita bersama dengan pihak SPR telah menubuhkan beberapa kumpulan pemantau untuk pilihan raya ini bagi memastikan segala peraturan dan arahan yang sepatutnya berlaku pada tempoh berkempen ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya.

Artikel Berkaitan:

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!