Tadika di Langkawi dinasihat tidak beroperasi sehingga siasatan selesai

KUCHING - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta sebuah tadika di Langkawi yang dikaitkan dengan dakwaan pengabaian dan layanan tidak wajar terhadap kanak-kanak supaya tidak beroperasi sementara menunggu siasatan polis selesai.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun tadika berkenaan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan, JKM tetap memainkan peranan dalam aspek perlindungan kanak-kanak serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam siasatan kes itu.
"Polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Kita menasihatkan supaya tadika itu tidak dibuka dahulu sehingga siasatan selesai.
"Kita juga menasihati ibu bapa supaya mematuhi nasihat pihak polis demi memastikan keselamatan anak-anak mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat projek naik taraf Jeti Pending di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, JKM, melalui pegawai pelindung kanak-kanak, turut bekerjasama dengan polis dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi mendapatkan maklumat serta menyediakan laporan yang diperlukan dalam siasatan.
Nancy berkata, pihaknya telah menegur pengendali tadika berkenaan berhubung aspek penjagaan, keselamatan dan kebajikan kanak-kanak serta mengingatkan mereka supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata, tindakan sewajarnya akan diambil bersama dengan pihak polis dan agensi berkaitan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
Semalam, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, siasatan sedang dijalankan berhubung laporan seorang bekas guru sebuah tadika di daerah itu yang mendakwa berlaku pengendalian tidak wajar terhadap kanak-kanak di premis berkenaan.
Beliau berkata, antara dakwaan itu ialah terdapat kanak-kanak dibiarkan tidur di atas lantai tanpa tilam selain ada yang dikatakan pernah dikunci di dalam tandas.
Khairul Azhar berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan itu termasuk melalui semakan rakaman kamera litar tertutup serta keterangan saksi, dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sementara itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, projek naik taraf Jeti Pending bernilai kira-kira RM600,000 kini hampir 90 peratus siap dan dijangka selesai mengikut jadual pada 24 Ogos ini.
Beliau berkata, projek itu menghubungkan Jeti Pending dengan Kampung Muhibbah Seberang yang terletak dalam kawasan Parlimen Santubong, dan baki kerja melibatkan pembinaan dua bahagian jeti serta tangga sepanjang kira-kira 12 hingga 13 meter.
"Setakat ini, kemajuannya sangat baik dan kontraktor hanya berdepan cabaran faktor cuaca yang tidak menentu.
"Kita berharap projek ini dapat disiapkan tepat pada masanya bagi memudahkan penduduk Kampung Muhibbah dan Kampung Jepungan Jaya menyeberangi sungai untuk urusan harian," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
