Doktor muda PH sedia cabar ‘heavyweight’ BN di Rantau

Calon PH, Dr Azizul Hakim Mahdi (dua dari kanan) dan Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga dari kiri) ketika diumumkan sebagai calon satu lawan satu di DUN Rantau selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau pada Sabtu.
Calon PH, Dr Azizul Hakim Mahdi (dua dari kanan) dan Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga dari kiri) ketika diumumkan sebagai calon satu lawan satu di DUN Rantau selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau pada Sabtu.
A
A
A

REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi mengakui berdepan cabaran besar apabila perlu menentang calon ‘heavyweight’ Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bagaimanapun, calon berusia 35 tahun itu optimis dengan latar belakangnya sebagai doktor perubatan, golongan profesional dan anak muda mampu memberikan pilihan baharu kepada pengundi di kawasan berkenaan.

Menurut Dr Azizul Hakim, beliau menghormati Mohamad yang merupakan penyandang DUN Rantau sejak 2004, namun percaya peluang untuk PH mencipta sejarah masih terbuka.

“Kita tahu Rantau tidak pernah berubah sejak merdeka, sama ada diwakili MIC atau UMNO dan yang terbaharu ialah calon penyandang sekarang yang juga Ahli Parlimen Rembau. Kita menghormati beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau di sini pada Sabtu.

Calon PH, Dr Azizul Hakim Mahdi (dua dari kanan) dan Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua dari kiri) ketika diumumkan sebagai calon satu lawan satu di DUN Rantau selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau pada Sabtu.
Calon PH, Dr Azizul Hakim Mahdi (dua dari kanan) dan Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua dari kiri) ketika diumumkan sebagai calon satu lawan satu di DUN Rantau selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau pada Sabtu.

Dr Azizul Hakim berkata, beliau tidak bergerak bersendirian, sebaliknya membawa kekuatan PH yang menerajui Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sembilan.

Menurutnya, prestasi kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun akan menjadi antara perkara utama diketengahkan kepada pengundi.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak mewakili diri sendiri. Saya mewakili satu gabungan yang kuat, iaitu Pakatan Harapan yang berada di peringkat Persekutuan dan kerajaan Negeri Sembilan.

“Kita dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min. Jadi, kita akan membawa prestasi kerajaan negeri kepada rakyat Rantau,” katanya.

Beliau turut berharap semua jentera dan penyokong PH dapat menjalankan kempen secara baik, sihat dan berhemah sepanjang tempoh pilihan raya.

Mengulas kekuatan yang dibawanya, Azizul Hakim berkata, PH mengetengahkan seorang calon muda dan profesional yang mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam bidang perubatan.

Beliau turut mengendalikan tiga klinik, masing-masing di Senawang, Puncak Alam dan Melaka.

“Kita tahu kita berdepan calon heavyweight, tetapi pimpinan PH mengetengahkan calon muda, profesional dan juga seorang doktor perubatan.

“Kita mahu membawa inisiatif berkaitan kesihatan kepada penduduk, selain mengetengahkan prestasi kerajaan negeri untuk mengekalkan pentadbiran PH di Negeri Sembilan,” katanya.

Azizul Hakim berkata, pendekatan yang akan dibawanya bukan semata-mata sebagai seorang ahli politik, tetapi sebagai doktor perubatan yang mahu memastikan kebajikan dan kesihatan penduduk Rantau terus terbela.

“Saya datang ke Rantau sebagai doktor perubatan, lebih daripada sekadar seorang ahli politik.

“Kita mahu setiap pengundi dan rakyat Rantau berada dalam keadaan sihat, mendapat akses serta jaminan perubatan yang baik,” katanya.

Selain isu kesihatan, beliau berkata, pihaknya akan mendengar sendiri luahan penduduk berkaitan isu setempat sebelum merangka penyelesaian bersama pasukannya.

“Kita akan cuba menyelesaikan sebaik mungkin isu yang berlaku di Rantau. Kita akan mendengar luahan pengundi dan membawa inisiatif, terutama berkaitan kesihatan.

“Isu semasa serta isu setempat juga akan cuba diselesaikan bersama pasukan kita kerana kita mempunyai kerajaan negeri yang diketuai Tok Min,” katanya.

Azizul Hakim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 2024 dan kini memegang jawatan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!