Markas sindiket tipu dalam talian di Ipoh diserbu, 18 warga China diberkas

Rampasan pelbagai peralatan elektronik termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan dalam talian. Foto: Polis Perak
Rampasan pelbagai peralatan elektronik termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan dalam talian. Foto: Polis Perak
A
A
A

IPOH - Polis Perak berjaya membongkar sindiket penipuan dalam talian yang didalangi warga China dengan penahanan 18 lelaki dalam dua serbuan di sekitar bandar raya ini pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 45 tahun itu ditahan menerusi operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah apartmen di Laluan Ipoh Permai 3, Apartment Ipoh Hill Permai yang membawa kepada penahanan 10 lelaki.

“Serbuan kedua pula dijalankan di sebuah rumah di Laluan Tasek Timur 5, Taman Tasek Indra dan berjaya menahan lapan lagi lelaki warga China,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di kedua-dua premis membawa kepada rampasan pelbagai peralatan elektronik termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan dalam talian.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM78,000,” katanya.

Mohd Alwi berkata, analisis awal terhadap peranti yang dirampas mendapati ia disyaki digunakan bagi mengendalikan aktiviti penipuan melibatkan penggunaan instrumen kewangan serta akaun bank milik pihak lain.

“Kesemua tangkapan bersama barang kes telah dibawa ke IPD Ipoh untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM78,000. Foto PDRM
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM78,000. Foto PDRM

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis memandang serius kegiatan penipuan dalam talian yang melibatkan penggunaan teknologi serta penyalahgunaan akaun kewangan pihak lain bagi memperdaya mangsa.

Jelasnya, PDRM akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan bagi membanteras jenayah komersil tersebut.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang urusan dalam talian yang mencurigakan serta tidak mudah mempercayai tawaran yang menjanjikan keuntungan luar biasa,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah komersil boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!