Tiada siapa patut berjuang sendirian

Kesihatan mental bukan sekadar tanggungjawab individu, ia adalah tanggungjawab bersama.
Kesihatan mental bukan sekadar tanggungjawab individu, ia adalah tanggungjawab bersama.
A
A
A

APABILA seorang ibu muda dihukum kerana menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkannya dengan mencampakkan bayi tersebut dari sebuah kondominium, rakyat Malaysia bertanya: bagaimana seorang ibu boleh melakukan perkara sedemikian?

Setiap kali berlakunya tragedi yang menggemparkan masyarakat – sama ada kes bunuh diri, pembuangan bayi, keganasan rumah tangga atau tindakan di luar batas kewarasan – reaksi pertama kita selalunya sama. Kita terkejut. Kita marah. Kita mencari siapa yang harus dipersalahkan.

Namun mungkin ada satu soalan yang lebih penting yang perlu kita tanyakan.

Adakah terdapat tanda-tanda awal yang terlepas pandang?

Adakah individu tersebut mempunyai tempat untuk mendapatkan bantuan?

Adakah mereka mempunyai seseorang yang sedia mendengar tanpa menghakimi?

Adakah mereka mempunyai sistem sokongan yang boleh membantu ketika berhadapan dengan tekanan yang tidak lagi mampu ditanggung sendirian?

Tragedi jarang berlaku secara tiba-tiba. Selalunya ia bermula dengan tekanan yang dipendam, kesunyian yang berpanjangan, keletihan emosi yang tidak dirawat atau perasaan putus harapan yang semakin membesar dari hari ke hari.

Sebagai Penaung Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, saya melihat sendiri bagaimana isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian masyarakat. Ini merupakan perkembangan yang positif. Namun pada masa sama, masih terdapat stigma yang menyebabkan ramai individu memilih untuk berdiam diri walaupun sedang bergelut dengan cabaran emosi yang serius.

Artikel Berkaitan:

Masih ada yang menganggap masalah kesihatan mental sebagai kelemahan peribadi. Masih ada yang berpendapat bahawa seseorang hanya perlu 'menjadi lebih kuat' untuk mengatasi tekanan hidup.

Hakikatnya, kesihatan mental adalah sebahagian daripada kesihatan keseluruhan manusia.

Kita tidak akan menyalahkan seseorang kerana menghidap penyakit jantung atau diabetes. Kita juga tidak akan mengharapkan seseorang yang mengalami kecederaan fizikal untuk pulih tanpa rawatan. Namun apabila seseorang mengalami kemurungan(depresi), keresahan melampau (anxiety) atau tekanan emosi yang serius, kita sering mengharapkan mereka untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Pandangan seperti ini perlu diubah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia pernah menyatakan bahawa tiada kesihatan tanpa kesihatan mental. Kenyataan ini mengingatkan kita bahawa kesejahteraan mental bukan isu sampingan. Ia mempengaruhi cara kita berfikir, membuat keputusan, membina hubungan dan menjalani kehidupan seharian.

Kesunyian

Dalam dunia yang semakin pantas dan serba digital, cabaran terhadap kesihatan mental juga semakin kompleks. Kita hidup dalam era yang membolehkan kita berhubung dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Namun pada masa sama, ramai yang berasa semakin terasing dan kesunyian.

Ramai yang kelihatan gembira di media sosial tetapi sebenarnya sedang berjuang dalam diam. Ramai yang berjaya dalam kerjaya tetapi berasa keseorangan apabila berhadapan dengan masalah peribadi. Kesunyian tidak semestinya bermaksud bersendirian. Kadangkala seseorang boleh berasa sangat sunyi walaupun berada di tengah-tengah keluarga atau rakan-rakan.

Sebab itulah sokongan sosial amat penting. Penulis terkenal Stephen Covey pernah berkata: “Kebanyakan orang mendengar untuk menjawab, bukan untuk memahami.”

Dalam kehidupan seharian, kita sering tergesa-gesa memberikan nasihat atau pandangan. Sedangkan kadangkala apa yang diperlukan hanyalah seseorang yang sanggup mendengar dengan penuh empati.

Mendengar merupakan satu bentuk kasih sayang yang sering dipandang ringan.

Peranan keluarga dalam perkara ini tidak boleh diketepikan. Rumah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk seseorang meluahkan perasaan. Anak-anak perlu dibesarkan dalam suasana yang membolehkan mereka bercakap tentang ketakutan, kegagalan dan tekanan tanpa rasa malu atau takut dihukum.

Begitu juga di tempat kerja. Dalam mengejar produktiviti dan prestasi, kita tidak boleh mengabaikan kesejahteraan pekerja. Organisasi yang berjaya bukan sahaja mengutamakan pencapaian, tetapi juga memahami bahawa pekerja adalah manusia yang mempunyai emosi, cabaran dan tanggungjawab kehidupan pelbagai.

Memahami

Pada akhirnya, kesihatan mental bukan sekadar tanggungjawab individu. Ia adalah tanggungjawab bersama. Keluarga, sekolah, tempat kerja, komuniti dan institusi masyarakat semuanya mempunyai peranan untuk memastikan tiada sesiapa yang berasa terpinggir atau keseorangan ketika berhadapan dengan kesukaran hidup.

Kita juga perlu mengubah budaya menghakimi yang masih wujud dalam masyarakat. Terlalu kerap kita memberikan pendapat terhadap seseorang tanpa mengetahui perjuangan yang sedang mereka lalui. Terlalu mudah kita membuat andaian, tetapi terlalu sukar untuk menawarkan bantuan.

Bayangkan jika setiap daripada kita mengambil sedikit masa untuk bertanya khabar dengan ikhlas, menghubungi rakan yang sudah lama menyepi atau meluangkan masa untuk mendengar tanpa menghakimi. Tindakan yang kecil ini mungkin kelihatan biasa, tetapi kesannya boleh menjadi sangat besar kepada seseorang yang sedang bergelut.

Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh orang lain. Namun kita sentiasa mempunyai kemampuan untuk menunjukkan bahawa mereka tidak bersendirian.

Jika ada satu mesej yang ingin saya tinggalkan kepada pembaca, ia adalah ini: jangan memandang ringan penderitaan yang tidak kelihatan. Di sebalik setiap wajah yang kita temui, mungkin ada perjuangan yang tidak diketahui sesiapa.

Dan dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin kompleks, marilah kita membina sebuah masyarakat yang lebih penyayang, lebih memahami dan lebih berani menghulurkan bantuan.

Sesungguhnya, tiada siapa patut berjuang sendirian.

*Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff ialah Raja Puan Muda Kedah. Tuanku merupakan seorang peguam terlatih, aktivis kesihatan mental dan Penaung Diraja Persatuan Kesihatan Mental Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!