Bangladesh tubuh jawatankuasa khas percepat penghantaran pulang Rohingya

Pelarian Rohingya berada di Kem Pelarian Kutupalong, Cox's Bazar. Bangladesh dijangka memuktamadkan strategi nasional dalam tempoh 90 hari bagi menyelaras usaha penghantaran pulang pelarian Rohingya secara selamat, teratur dan mampan. Foto fail AFP
Pelarian Rohingya berada di Kem Pelarian Kutupalong, Cox's Bazar. Bangladesh dijangka memuktamadkan strategi nasional dalam tempoh 90 hari bagi menyelaras usaha penghantaran pulang pelarian Rohingya secara selamat, teratur dan mampan. Foto fail AFP
A
A
A

DHAKA – Kerajaan Bangladesh menubuhkan Jawatankuasa Perumusan Strategi Nasional Hal Ehwal Rohingya yang dianggotai 11 ahli dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tarique Rahman, bagi merangka strategi menyeluruh untuk mempercepatkan proses penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar secara selamat dan mampan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Kabinet pada Isnin, jawatankuasa itu bertanggungjawab menggubal strategi nasional selain menyelaras pelaksanaannya merentas kementerian, agensi keselamatan dan badan berkaitan.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai Menteri Dalam Negeri, Menteri Luar, Penasihat Kementerian Kewangan dan Perancangan, Penasihat Kementerian Pertahanan serta Bahagian Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Perisikan Keselamatan Negara (NSI), Ketua Pengarah Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) dan Ketua Pengarah Pengawal Pantai Bangladesh.

Ketua Staf Utama Bahagian Angkatan Tentera dilantik sebagai penyelaras utama jawatankuasa, manakala Ketua Pengarah Direktorat Jeneral Perisikan Angkatan Tentera (DGFI) bertindak sebagai setiausaha.

Berdasarkan pemberitahuan itu, setiausaha jawatankuasa di bawah penyeliaan langsung penyelaras utama akan menubuhkan sebuah lembaga khas bagi menyediakan Strategi Nasional Hal Ehwal Rohingya.

Lembaga tersebut diberi tempoh 90 hari untuk menyiapkan dokumen strategi sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Nasional Hal Ehwal Rohingya bagi pertimbangan dan kelulusan.

Strategi itu akan memperincikan tanggungjawab setiap kementerian serta organisasi berkaitan dalam memastikan proses penghantaran pulang pelarian Rohingya dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, teratur dan berkekalan.

Selain itu, lima pegawai turut dilantik bagi membantu jawatankuasa berkenaan, iaitu Pesuruhjaya Bantuan dan Penghantaran Pulang Pelarian (RRRC), Timbalan Ketua Polis Cawangan Khas, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) BGB, Pengarah Bahagian Sempadan NSI serta Pengarah Biro Perisikan Kestabilan Sosial (SSIB).

Jawatankuasa itu turut dipertanggungjawabkan menentukan keutamaan dalam isu berkaitan penghantaran pulang Rohingya, memantau pelaksanaan dasar antara agensi serta menetapkan peranan dan tanggungjawab agensi penguat kuasa dan organisasi lain yang terlibat sepanjang proses berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Penubuhan jawatankuasa tersebut dilihat sebagai langkah baharu kerajaan Bangladesh untuk memperkukuh usaha menyelesaikan krisis pelarian Rohingya yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu menerusi pendekatan yang lebih tersusun dan bersepadu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!