[VIDEO] PH wajar kaji semula kerjasama BN dalam Kerajaan Perpaduan - AMK
PADANG RENGAS – Angkatan Muda Keadilan (AMK) berpandangan Pakatan Harapan (PH) wajar mengkaji semula kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan susulan wujud percaturan politik yang boleh menggugat kestabilan negara.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan BN secara terbuka menjalinkan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan mencetuskan persoalan terhadap keikhlasan hubungan antara PH dan BN.
Menurutnya, AMK sejak awal konsisten menegaskan bahawa keutamaan negara ketika ini ialah memastikan kestabilan politik demi memulihkan ekonomi.
"Kalau dia nak berkawan, kita kawan. Tapi kalau dia nak lawan, kita lawan. Kita tidak ada masalah.
"Saya fikir wajar untuk kita kaji semula hubungan kita, PH kerjasama politik dengan BN kerana kita tidak melihat kejujuran yang sama diberikan di pihak sana," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pemerkasaan Kelab Guru dan Staf serta Penyampaian Sumbangan Sekolah-sekolah Parlimen Padang Rengas di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini pada Jumaat.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda menyifatkan BN tidak mempunyai alasan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya benar wujud kerjasama politik dengan PN.
Menurut Mohd Hasbie lagi, jika kerjasama antara BN-PN, maka gabungan pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan.
Sementara itu Muhammad Kamil berkata, sekiranya BN memilih untuk bermusuh dengan PH di peringkat negeri, perkara sama juga boleh dipertimbangkan di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, ketika dunia sedang berdepan krisis global, semua pihak sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara, bukannya melakukan percaturan politik yang hanya menguntungkan kelompok atau individu tertentu.
"Krisis ini digunakan kesempatan oleh mereka untuk melakukan percaturan politik bagi memenuhi kepentingan kelompok dan individu tertentu, sedangkan fokus utama sepatutnya ialah membangunkan ekonomi negara.
"Semua pihak harus melihat keutamaan negara pada ketika ini. Dalam
keadaan ini sewajarnya semua pihak berdiri teguh di belakang Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk pastikan bahawa pertama, politiknya stabil dan yang kedua, kita boleh selamatkan ekonomi negara kita," katanya.
Mengulas mengenai perbincangan dalaman PH berhubung perkembangan politik semasa, Muhammad Kamil berkata, mesyuarat antara pimpinan parti dalam gabungan itu sentiasa diadakan dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan Negeri Sembilan perlu diberi ruang untuk terus mentadbir dan rakyat mampu menilai pemimpin yang benar-benar memberi tumpuan kepada tugas berbanding mereka yang sibuk mencatur permainan politik.
Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama antara PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau menegaskan semua parti politik perlu mengutamakan kepentingan negara.
"Kita tuntut semua orang supaya hentikan usaha yang tidak menguntungkan negara. Ekonomi kita sedang pulih dan pelaburan semakin meningkat.
"Tindakan seperti ini hanya menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat serta pelabur," katanya.
Pada 15 Julai, BN mengumumkan calon bagi 25 daripada 36 kerusi DUN yang ditandinginya pada PRN Negeri Sembilan, manakala 11 kerusi lagi tidak diumumkan.
Ketika itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan baki 11 kerusi berkenaan akan diumumkan oleh pihak lain yang sedang dalam rangka kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Semalam, teka-teki berhubung baki 11 kerusi DUN yang tidak diumumkan BN itu akhirnya terjawab apabila PN mengumumkan calon bagi kesemua baki kerusi berkenaan untuk PRN Negeri Sembilan ke-16.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

