Isu kaji semula kerjasama BN-PH: 'Kenapa UMNO dianggap sebagai musuh?' - Mohd Razlan

BN dan PH merupakan dua entiti politik yang berbeza meskipun bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Gambar kecil: Mohd Razlan
BN dan PH merupakan dua entiti politik yang berbeza meskipun bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan. Gambar kecil: Mohd Razlan
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii membidas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berhubung cadangan mengkaji semula kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Persekutuan.

Mohd Razlan berkata, kenyataan itu jauh tersasar dan tidak mencerminkan pemahaman terhadap realiti politik semasa.

Menurutnya, BN dan PH merupakan dua entiti politik yang berbeza meskipun bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

"Kenapa UMNO dianggap sebagai musuh dan parti yang perlu dipilih sama ada untuk berkawan atau berlawan? Pilihan raya di peringkat negeri tidak mengikat BN kerana BN bukan komponen PH.

"Sebarang keputusan politik UMNO dan BN di peringkat negeri tidak tertakluk kepada pertimbangan politik PH. Ini bermakna di peringkat negeri, BN merupakan entiti yang berbeza daripada PH.

"Politik negeri dan pusat adalah berbeza. Sepatutnya beliau memahami perkara itu, jadi tidak perlulah mengugut kita sama ada mahu berkawan atau berlawan," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, AMK berpandangan PH wajar mengkaji semula kerjasama politik dengan BN dalam Kerajaan Perpaduan susulan wujud percaturan politik yang boleh menggugat kestabilan negara.

Ketuanya, Muhammad Kamil berkata, tindakan BN secara terbuka menjalinkan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan mencetuskan persoalan terhadap keikhlasan hubungan antara PH dan BN.

Menurutnya, AMK sejak awal konsisten menegaskan bahawa keutamaan negara ketika ini ialah memastikan kestabilan politik demi memulihkan ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Razlan, kestabilan kerajaan hari ini terbentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ketika negara berdepan situasi Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, tanpa sokongan 30 kerusi daripada BN ketika itu, PH tidak dapat membentuk kerajaan.

"Jadi janganlah berdabik dada bercakap soal kajian semula kerjasama di peringkat pusat. Madu dah dapat, sepah nak dibuang pula?" soalnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyangkal dakwaan bahawa BN mengambil kesempatan melakukan percaturan politik dengan menjalinkan kerjasama bersama PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kerjasama itu tercetus susulan dakwaan berlaku penipuan terhadap rakyat Negeri Sembilan apabila Menteri Besar negeri itu gagal memberikan penjelasan berhubung beberapa perkara yang dibangkitkan, termasuk berkaitan minit mesyuarat serta keputusan Dewan Keadilan Undang (DKU).

"Dakwaan ini telah mencetuskan polemik yang melibatkan institusi adat dan istana. Jika tidak diuruskan dengan baik, ia boleh memberi kesan kepada keharmonian negeri," katanya.

Beliau turut menegaskan BN kekal komited untuk meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, selaras dengan pendirian parti dan titah YDPA ketika pembentukan kerajaan.

"Jika ada mana-mana pihak mahu mengkaji semula kerjasama politik, itu hak mereka. Namun pendirian BN jelas, kita akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!