Ketakutan MCA terhadap Pas bukti Islamofobia disebarkan parti itu - Amanah

Muhammad Faiz Fadzil
Muhammad Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa kenyataan Setiausaha Pemuda MCA, Saw Yee Fung yang mempertikaikan pakatan pilihan raya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diketuai Pas membuktikan wujudnya ketakutan MCA terhadap parti itu.

Menurut parti berkenaan, keadaan itu sekali gus menunjukkan Pas sendiri menjadi punca penyebaran Islamofobia.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kenyataan itu memperlihatkan MCA terpaksa berkempen bahawa tiada kerjasama antara BN dan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu, namun akhirnya bekerjasama dengan Pas di Negeri Sembilan.

Beliau mendakwa, keadaan itu sekali gus merupakan satu penipuan terhadap rakyat Johor.

Dakwanya lagi, Pas adalah sebuah parti yang tidak berprinsip dan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kuasa politik.

"Disebabkan sikap itu, kestabilan politik tidak akan dapat diwujudkan kerana Pas hanya memilih kawan berdasarkan kepentingan kuasa dan bukannya prinsip.

"Agenda penyatuan umat hanyalah candu politik yang ditunggang oleh Pas. Demi kuasa, Pas sanggup meninggalkan Bersatu tidak bertali dan kini berkawan pula dengan UMNO.

"Kerjasama politik Pas-BN ini tidak akan kekal lama dan akhirnya akan berpecah, sekali gus menyusahkan rakyat akibat ketidakstabilan politik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Faiz berkata, sejarah turut membuktikan Pas pernah bekerjasama dengan DAP dan membentuk kerajaan di Perak, Selangor serta Pulau Pinang pada 2008.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada ketika itu Pas bermati-matian mempertahankan kerjasama berkenaan walaupun bersama DAP dengan mengemukakan pelbagai hujah dan dalil bagi memastikan parti itu terus berada dalam kerajaan.

"Namun kini, demi kuasa sekali lagi, Pas bekerjasama dengan MCA dan mengharamkan kerjasama dengan DAP," katanya.

Beliau turut mendakwa kenyataan Pemuda MCA itu menafikan dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini menyatakan Pakatan Harapan (PH) menjadi pihak yang menyebarkan Islamofobia.

Menurutnya, hakikatnya pendekatan ekstrem Pas serta tindakan parti itu yang sering memainkan sentimen agama, menimbulkan bibit kebencian kaum dan mengeluarkan kenyataan berunsur ekstrem menjadi antara faktor yang mewujudkan Islamofobia di negara ini.

Mengulas lanjut, Faiz menyifatkan sikap Pas itu seperti pepatah Arab, "Dia yang pukul, dia yang menangis", kerana didakwa sering menyalahkan pihak lain sedangkan Islamofobia berpunca daripada pendekatan parti itu sendiri.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!