Dokumen palsu, stor rahsia taktik sindiket jersi tiruan Piala Dunia

Antara serbuan rampasan jersi bola sepak Piala Dunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara serbuan rampasan jersi bola sepak Piala Dunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemalsuan dokumen, label mengelirukan dan pembungkusan tanda cap dagangan palsu menjadi taktik kegiatan penyeludupan masuk jersi tiruan bola sepak Piala Dunia sebelum menjualnya sama ada secara fizikal atau dalam talian.

Ketua Pengarah Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, modus operasnsi kegiatan ini bermula dengan perolehan bekalan barangan tiruan dari luar negara yang diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, bagi mengelakkan dikesan oleh pihak penguat kuasa, barangan tersebut akan disimpan di lokasi yang berasingan seperti stor rahsia, rumah kediaman, atau premis yang tidak mencurigakan.

"Peniaga kemudiannya dikesan menggunakan taktik pemalsuan dokumen, label yang mengelirukan serta pembungkusan tanda cap dagangan palsu demi menyakinkan pengguna kononnya barangan tersebut adalah asli.

Antara serbuan rampasan jersi bola sepak Piala Dunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara serbuan rampasan jersi bola sepak Piala Dunia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Seterusnya, barangan ini akan diedarkan kepada peniaga kecil sebelum dipasarkan secara meluas kepada pengguna akhir menerusi kaedah hibrid, iaitu melalui premis fizikal serta rangkaian platform dalam talian seperti e-dagang, media sosial dan aplikasi pesanan ringkas," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, terdapat penglibatan warga asing dalam sesetengah kes yang dikesan bertindak sebagai pemilik premis, pekerja, penjaga stor, pengedar atau individu yang menguruskan transaksi jualan.

Namun, jelas Azman, penglibatan warga asing ini adalah bersifat terpencil dan tertakluk kepada hasil siasatan terperinci bagi setiap kes spesifik serta tidak boleh dianggap sebagai generalisasi yang berlaku dalam keseluruhan aktiviti haram tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, melalui risikan dan siasatan awal, terdapat petunjuk kukuh bahawa kegiatan penjualan barangan tiruan ini dijalankan secara terancang menerusi rangkaian tertentu yang mempunyai peranan khusus seperti pembekal, penyimpan stok, pengedar dan penjual.

"Siasatan lanjut turut menjurus kepada kemungkinan bahawa individu atau rangkaian yang sama ini terlibat dalam pengedaran pelbagai jenis barangan tiruan lain yang menggunakan pelbagai cap dagangan berbeza di pasaran," ujarnya.

Kata beliau, jersi tiruan kebiasaannya dijual pada harga yang jauh lebih rendah berbanding jersi asli iaitu dalam lingkungan RM20 hingga RM100 sehelai tertakluk kepada kualiti gred, jenama, dan kaedah penjualannya.

"Perbezaan harga ini amat ketara berbanding jersi tulen yang boleh mencecah ratusan ringgit di pasaran.

"Sasaran utama pembeli bagi barangan ini adalah pengguna yang ingin memiliki jersi berjenama tetapi mempunyai bajet terhad, termasuklah peminat sukan, pelajar serta golongan berpendapatan rendah," ujarnya.

Tegasnya, KPDN mengambil serius setiap aduan yang diterima dengan mengikut garis panduan pengendalian aduan yang telah ditetapkan.

"Pemilik cap dagang dikehendaki mengemukakan aduan melalui Sistem IEMSbiz yang disediakan oleh kementerian bagi memastikan proses penyaluran maklumat yang teratur dan berpusat.

"Setiap aduan yang diterima akan disemak untuk memastikan kesempurnaan serta kelengkapan dokumen sokongan sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.

Azman berkata, dalam memastikan penguatkuasaan yang lebih berkesan, KPDN juga akan menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan lain mengikut kesesuaian kes termasuk merujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya aduan melibatkan unsur jenayah atau aktiviti sindiket.

"Pendekatan bersepadu ini diambil bagi memastikan setiap aduan ditangani secara menyeluruh, cekap dan berkesan demi melindungi kepentingan pengguna serta mengekalkan integriti pasaran domestik," ujarnya.

Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!