Tamatkan toleransi, lindungi nyawa di jalan raya

BAC bagi pemandu di Malaysia ditetapkan pada kadar 0.05 peratus. Gambar hiasan
BAC bagi pemandu di Malaysia ditetapkan pada kadar 0.05 peratus. Gambar hiasan
A
A
A

LANGKAH pihak berkuasa untuk meningkatkan hukuman terhadap pesalah yang didapati memandu dibawah pengaruh alkohol memberi sedikit kelegaan kepada pengguna jalan raya.

Isu memandu dalam keadaan mabuk bukanlah satu isu baru tetapi sebenarnya isu lapuk yang kerap dimainkan media dan masyarakat setiap kali berlaku kematian disebabkan pemandu yang tiada kesedaran.

Lebih panas lagi apabila pelaku tidak mengalami kecederaan serius atau meninggal dunia sedangkan mangsa menemui ajal.

Hasrat Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali yang memaklumkan kajian hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk telah dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi dengan mengambil contoh negara seperti Taiwan dan Singapura sangat dipuji serta perlu disegerakan.

Ujarnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperkemaskan sistem mata demerit supaya tindakan dikenakan memberi impak terhadap pesalah.

Antaranya membatalkan terus lesen pemandu apabila didapati memandu dalam keadaan khayal.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad menggesa kerajaan mengkaji semula had kepekatan alkohol dalam darah (BAC)yang dibenarkan bagi pemandu di negara ini bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Gesaan ini selepas beliau menyedari had BAC di Malaysia lebih tinggi berbanding beberapa negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan yang menetapkan had 0.03 peratus manakala China pula hanya 0.02 peratus.

BAC bagi pemandu di Malaysia ditetapkan pada kadar 0.05 peratus.

Artikel Berkaitan:

Bagi orang ramai termasuk penulis sendiri, keadaan ini sangat melucukan apabila sebuah negara majoriti rakyat beragama Islam menetapkan BAC lebih tinggi berbanding negara majoriti bukan negara Islam.

Bab ini, penulis tabik kepada kerajaan Vietnam apabila menetapkan BAC sifar peratus yang melarang terus pemandu mabuk untuk memandu.

Berdasarkan laporan Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, sebanyak 31 kemalangan maut dilaporkan berlaku tahun lalu manakala 27 kes sama pada tahun sebelumnya.

Mungkin angkanya nampak terlalu kecil tetapi kesannya sangat besar terutama kepada ahli keluarga mangsa.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) membuktikan pemanduan di bawah pengaruh alkohol menyebabkan seseorang pemandu 13 kali lebih berisiko mencetuskan kemalangan berbanding pemandu waras.

Berdasarkan data penguatkuasaan JSPT, sebanyak 238 pertuduhan kes pemandu mabuk direkodkan sepanjang Sekatan Jalan Raya (SJR) bulanan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya akan membentangkan satu lagi pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan pada hujung tahun bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau keluarga mangsa kemalangan disebabkan pemandu mabuk atau dadah.

Ujar beliau, cadangan itu bertujuan memastikan keadilan dapat diberikan kepada mangsa dan keluarga mereka selain hukuman sedia ada seperti penjara dan denda terhadap pesalah.

Kata Anthony, kerajaan tidak bertolak ansur terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Bagi penulis, tidak perlu bermain tarik tali lagi, noktahkan segera isu ini. Jadikan jalan raya kita lokasi yang selamat untuk semua yang menggunakannya.

*Mohd Razlan Salleh ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!