Peras ugut wanita di kedai makan, lelaki pernah dikaitkan kes bunuh didenda RM2,500

Mok Kum Loon, 41, diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Gambar hiasan
Mok Kum Loon, 41, diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki yang sebelum ini pernah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat membunuh, didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan cuba melakukan pemerasan, Mei lepas.

Majistret Nor Azilah Mat turut memerintahkan tertuduh, Mok Kum Loon, 41, menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Kum Loon didakwa sengaja mendatangkan ketakutan terhadap seorang wanita berusia 25 tahun bahawa kecederaan akan berlaku kepadanya dengan niat hendak melakukan pemerasan di sebuah kedai makan di daerah Klang, pada 15 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sulfie Abu Hassan memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam T Lavin yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama. 

Sebelum ini, Kum Loon bersama tiga individu lain dilepas dan dibebaskan daripada dakwaan bersubahat membunuh seorang lelaki dalam kejadian rompakan palsu di Taman Anika Baru, Sungai Udang di sini, empat tahun lepas.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!