Ugutan tembak terhadap pegawai AKPS akibat rasa tidak puas hati - Mohd Shuhaily

Mohd Shuhaily berkata, kejadian itu tercetus selepas suspek didakwa tidak memberikan kerjasama terhadap pegawai bertugas pada peringkat awal pemeriksaan.
Mohd Shuhaily berkata, kejadian itu tercetus selepas suspek didakwa tidak memberikan kerjasama terhadap pegawai bertugas pada peringkat awal pemeriksaan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Rasa tidak puas hati terhadap urusan pemeriksaan menjadi punca seorang individu mengugut mahu menembak pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ketika penguat kuasa terbabit bertugas di Pelabuhan Klang, Selangor.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, berdasarkan siasatan, kejadian itu tercetus selepas suspek didakwa tidak memberikan kerjasama terhadap pegawai bertugas pada peringkat awal pemeriksaan.

"Pegawai AKPS itu hanya menjalankan tanggungjawab mengikut prosedur operasi ditetapkan sebelum berlaku salah faham dengan suspek.

''Apabila kita semak, suspek sendiri agak kurang memberikan kerjasama pada peringkat awal dan pegawai kita hanya meneruskan tugas sebelum berlaku sedikit salah faham di situ," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Ke-17 Persatuan Kriminologi Asia (ACS) Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi di sini pada Rabu.

Semalam, media melaporkan AKPS membuat laporan polis berhubung tindakan seorang individu yang membuat ugutan tembak terhadap pegawai penguat kuasanya.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, laporan terhadap suspek yang dipercayai seorang ejen sebuah syarikat telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, suspek kemudian bertindak mengeluarkan ugutan secara terbuka terhadap pegawai berkenaan dan insiden itu turut didengari beberapa individu di lokasi kejadian.

Beliau berkata, susulan insiden itu, pihaknya segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai tindakan susulan memandangkan kes itu kini berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai keperluan mendesak untuk mempercepat perolehan senjata api kepada pegawai AKPS susulan insiden ugutan berbahaya seumpama itu, Mohd Shuhaily mengakui perkara tersebut amat wajar.

"Sepatutnya begitu (dipercepat) dan saya rasa pihak kementerian sedang berusaha untuk melaksanakan perolehan (senjata api) tersebut. Itu sahaja yang terbaik untuk saya komen buat masa ini," katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!