Profesion PR kini sebahagian rakan strategik organisasi

Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapan perasmian WPRD 2026, di Taylor's University pada Khamis.
Ismail Sabri ketika menyampaikan ucapan perasmian WPRD 2026, di Taylor's University pada Khamis.
A
A
A

SUBANG JAYA - Profesion perhubungan awam hari ini melalui satu evolusi yang sangat besar disebabkan perkembangan digitalisasi di mana manusia semakin saling berhubung dan kepercayaan menjadi aset paling bernilai.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika suatu ketika dahulu tugas pengamal perhubungan awam tertumpu kepada pengurusan media dan penyebaran maklumat, kini golongan itu menjadi sebahagian daripada rakan strategik dalam kepimpinan organisasi.

Menurut beliau, sesebuah organisasi tidak lagi dinilai berdasarkan pencapaian atau prestasi semata-mata, sebaliknya bagaimana ia berkomunikasi ketika berdepan kejayaan mahupun cabaran.

"Mereka membantu membentuk naratif, mengurus reputasi, memahami sentimen masyarakat, mengendalikan komunikasi krisis dan membina hubungan jangka panjang dengan pelbagai pihak berkepentingan.

"Saya sentiasa percaya komunikasi bukan sekadar alat untuk menyampaikan maklumat, tetapi asas kepemimpinan yang berkesan.

"Sesebuah dasar yang baik tidak akan mencapai matlamatnya jika cara penerangan dan kaedah penyampaian informasi tidak disalurkan dengan betul," katanya.

Perdana Menteri ke-9 itu berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Perhubungan Awam Sedunia (WPRD) 2026 yang ke-2 bertempat di Taylor's University di sini pada Khamis.

Hadir sama, Dekan Eksekutif Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi Taylor's University, Profesor Dr Neethiahnanthan Ari Ragavan; Pengerusi PRactitioners, Datuk P Kamalanathan dan 13 panelis WPRD 2026.

Antaranya, Pengerusi Eksekutif Grup CITRINE, Ivylnn Yap; Perunding Utama Afwah Resources Sdn Bhd, Raziz Rashid serta Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia, Profesor Mohd Said Bani.

Artikel Berkaitan:

Program tersebut dibahagikan kepada empat sesi perkongsian panelis dari jam 11 pagi hingga 4 petang antaranya bertajuk 'Mengemudi Integriti dan Evolusi Perhubungan Awam dalam Era Generasi Digital'.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera turut berkongsi pengalamannya sewaktu menerajui pentadbiran negara ketika pandemik Covid-19.

Kata beliau, situasi ketika itu mengajar satu perkara yang amat penting iaitu dalam keadaan krisis, komunikasi boleh menjadi penentu kejayaan sesebuah dasar.

"Pada waktu itu, saya perlu berhadapan dengan media hampir setiap hari untuk menjelaskan perubahan prosedur operasi standard (SOP) dengan maklumat yang jelas dan tepat bagi mengelakkan kekeliruan.

"Pengalaman tersebut memberi pengajaran bahawa komunikasi bukan sekadar menyampaikan keputusan kerajaan, tetapi juga instrumen penting untuk membina kepercayaan.

"Jika abad ke-20 disebut sebagai era persaingan ekonomi, abad ke-21 dipanggil era persaingan kepercayaan dan ia hanya dapat dibina melalui komunikasi yang berintegriti," jelasnya.

P Kamalanathan, Ismail Sabri (tengah) dan Neethiahnanthan (kanan) ketika sambutan WPRD 2026.
P Kamalanathan, Ismail Sabri (tengah) dan Neethiahnanthan (kanan) ketika sambutan WPRD 2026.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, pihaknya menyambut baik tindakan kerajaan membangunkan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan bagi menangani salah laku dan etika dalam penggunaan teknologi tersebut.

Ujar pemimpin tersebut, kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital tidak dinafikan membuka peluang yang amat besar kepada profesion perhubungan awam.

"AI mampu membantu menganalisis sentimen masyarakat, mengenal pasti trend komunikasi dan mempercepatkan penyampaian maklumat. Semua ini membolehkan organisasi membuat keputusan dengan lebih pantas serta tepat.

"Bagaimanapun, kemajuan teknologi turut membawa cabaran baharu misalnya penyebaran berita palsu, kandungan yang dimanipulasi, 'deepfake' serta lambakan maklumat sehinggakan masyarakat semakin sukar membezakan antara fakta dan fitnah," kata beliau.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!