'Sudah tiba masanya Akta Perlindungan Guru digubal' - Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi warga pendidik yang dilihat semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman dan tekanan ketika melaksanakan tugas.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, akta yang dicadangkan itu bagi melindungi guru yang bertindak dengan suci hati, secara munasabah dan mengikut prosedur dalam mengawal disiplin serta menjaga keselamatan pelajar.
“Antara rasional utama termasuklah melindungi guru yang bertindak mengikut prosedur.
"Guru sering membuat keputusan serta-merta untuk mengawal disiplin, keselamatan atau kecemasan.
“Jika tindakan dibuat mengikut undang-undang dan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), mereka tidak seharusnya mudah dikenakan tindakan sivil atau jenayah semata-mata kerana tidak puas hati,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Asyraf Wajdi menjelaskan, penggubalan akta itu juga bagi mengurangkan budaya litigasi ekoran terdapat peningkatan kecenderungan membawa pertikaian sekolah ke mahkamah.
Menurutnya, oleh itu, akta berkenaan boleh mewujudkan mekanisme penyelesaian awal seperti siasatan atau mediasi sebelum tindakan mahkamah diambil.
“Ia juga memberi sokongan undang-undang kepada guru. Ramai guru berdepan tindakan undang-undang menggunakan kos sendiri.
"Akta boleh memperuntukkan bantuan guaman atau indemniti kerajaan bagi guru yang bertindak dalam ruang lingkup tugas rasmi.
“Selain itu, ia meningkatkan keyakinan guru menjalankan tugas. Jika guru sentiasa bimbang akan disaman, mereka mungkin menjadi terlalu berhati-hati sehingga enggan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya.
"Ini boleh menjejaskan pengurusan sekolah dan pembentukan sahsiah murid,” ujar beliau.
Kata beliau lagi, perlindungan undang-undang yang munasabah menjadikan profesion guru lebih dihormati dan diyakini, sekali gus membantu mengekalkan bakat dalam bidang pendidikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

