Ahli perniagaan rugi RM1.25 juta terpedaya pelaburan tidak wujud

Seorang ahli perniagaan kerugian RM1.25 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto sejak tahun lalu. Gambar hiasan 123rf.
Seorang ahli perniagaan kerugian RM1.25 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto sejak tahun lalu. Gambar hiasan 123rf.
A
A
A

IPOH - Seorang ahli perniagaan kerugian RM1.25 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto sejak tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima laporan berhubung kes itu pada 10 Julai lalu melibatkan seorang lelaki warga tempatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula sekitar Januari 2025 apabila mangsa berusia 45 tahun itu diperkenalkan kepada beberapa individu yang menawarkan peluang pelaburan mata wang kripto dengan janji pulangan keuntungan tinggi.

“Bagi meyakinkan mangsa, beberapa sesi penerangan telah diadakan sebelum mangsa bersetuju untuk menyertai pelaburan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, dalam tempoh antara 28 Mac hingga 17 April 2025, mangsa telah melakukan beberapa transaksi pemindahan aset digital ke dompet digital yang diarahkan oleh suspek.

“Bagaimanapun, mangsa gagal memperoleh sebarang pulangan seperti yang dijanjikan selain tidak dapat mengeluarkan semula modal pelaburan yang telah dibuat,” katanya.

Beliau berkata, selepas menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Alwi menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa atau pulangan tetap yang tidak munasabah.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, orang ramai disaran membuat semakan latar belakang syarikat, platform dan individu yang menawarkan pelaburan serta mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Elakkan membuat pemindahan wang atau aset digital kepada individu atau akaun yang kesahihannya tidak dapat disahkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!