Sokong ikan tempatan, bendung spesies invasif

PELEPASAN ikan haruan di Tasik Rekreasi Sungai Chua, Kajang baru-baru ini merupakan inisiatif yang wajar dipuji dalam usaha mengembalikan keseimbangan ekosistem dan wajah sebenar perairan tempatan.
Langkah Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dengan kerjasama serta kebenaran Jabatan Perikanan (DOF) Selangor dan sokongan Skuad Pemburu Ikan Asing membuktikan bahawa pemuliharaan ekosistem air tawar perlu dilaksanakan secara terancang, berasaskan kepakaran, pemantauan dan tindakan bersepadu.
Sebelum haruan dilepaskan, ratusan ikan asing atau spesies invasif dikeluarkan dari tasik berkenaan, antaranya patin Siam, pleco, keli Afrika, tilapia hitam dan belida bintik.
Hakikatnya, banyak perairan air tawar negara kini berada pada tahap membimbangkan akibat kebanjiran spesies pendatang. Malah, beberapa tasik dan lombong di Perak telah lama didominasi peacock bass dan cichlid sehingga menekan populasi ikan tempatan seperti sebarau dan loma.
Spesies asing seperti baung ekor merah, aligator gar dan arapaima pula bersifat agresif, pemangsa serta mampu membesar dengan cepat. Apabila sengaja dilepaskan atau terlepas ke sungai, tasik dan lombong, ia menjadi dominan memakan ikan kecil, telur serta anak ikan tempatan, sekali gus mengganggu rantaian makanan semula jadi. Sesetengahnya juga berpotensi membawa penyakit atau parasit baharu yang sukar dikawal.
Sedangkan Malaysia sebenarnya kaya dengan khazanah ikan air tawar termasuk bernilai tinggi antaranya kelah, tengas, temoleh, kerai kunyit, kelisa, ketutu, tenggalan, toman, ketutu, kalui, patin buah, temakang, terbul dan sikang.
Malah DOF merekodkan terdapat lebih 400 ikan tempatan. Spesies ini bukan sekadar sumber makanan, malah sebahagian daripada warisan biodiversiti, budaya memancing dan identiti perairan negara.
Namun, pemulihan tidak boleh bergantung kepada pelepasan ikan semata- mata. Habitat perlu dipulihkan melalui pembersihan sungai dan tasik, kawalan sampah serta sisa industri, penanaman semula tumbuhan riparian, perlindungan kawasan pembiakan dan penguatkuasaan terhadap kaedah tangkapan yang merosakkan.
Pemantauan selepas pelepasan mesti dilakukan dengan merekodkan kadar kelangsungan hidup, pembiakan dan perubahan populasi. Pihak universiti, komuniti pemancing serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu dalam bancian spesies, pemetaan habitat dan pelaporan ikan asing.
Pada masa sama, operasi mengesan serta mengeluarkan ikan invasif perlu diperluas secara berkala, bukannya hanya selepas masalah menjadi serius.
Penganjur pertandingan memancing juga perlu lebih bertanggungjawab. Sebarang cadangan untuk menambah stok ikan mesti dirujuk terlebih dahulu kepada DOF selaku badan autoriti.
Pelepasan ikan semata-mata untuk menarik penyertaan atau menyediakan tangkapan segera boleh mendatangkan kesan jangka panjang terhadap ekosistem.
Kesilapan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melepaskan patin Siam ke dalam tasik bagi tujuan pertandingan memancing pada 12 Julai lalu tidak seharusnya berulang lagi, lebih-lebih lagi selepas isu sama pernah berlaku pada tahun 2024.
Pemuliharaan perairan tempatan memerlukan dasar yang tegas, pendidikan awam dan penglibatan komuniti.
Sokongan terhadap ikan tempatan bermakna melindungi keseimbangan ekosistem untuk generasi akan datang. Jika tindakan ditangguhkan, kita mungkin kehilangan spesies asli sebelum sempat mengenalinya.
*Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
