5 spesies ikan yu disenarai dilindungi - DOF

SHAH ALAM - Lima spesies ikan yu di Malaysia disenaraikan sebagai dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999.
Spesies itu ialah Yu Paus (Rhincodon typus), Yu Sirip Putih Lautan (Carcharhinus longimanus), Yu Tukul Licin (Sphyrna zygaena), Yu Tukul Besar (Sphyrna mokarran) dan Yu Tukul Sayap (Eusphyra blochii).
Selain itu, Yu Tukul Bengkong (Sphyrna lewini) kini sedang melalui proses pewartaan sebagai spesies ikan terancam berdasarkan perkembangan maklumat saintifik dan status konservasi semasa.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, Malaysia merekodkan sebanyak 65 spesies ikan yu yang terdiri daripada tujuh order dan 20 famili.
"Daripada jumlah tersebut, kumpulan Carcharhiniformes merupakan order yang paling dominan dengan 44 spesies.

"Bukan semua spesies ikan yu di Malaysia dilindungi di bawah undang-undang. Pada masa ini, lima spesies disenaraikan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu sempena Hari Kesedaran Jerung yang disambut pada 14 Julai.
Beliau berkata, Jabatan Perikanan (DOF) sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penangkapan dan perdagangan haram spesies ikan yu yang dilindungi.
Katanya, sebagai contoh, pada tahun 2016 tindakan telah diambil terhadap satu kes yang melibatkan penangkapan Yu Paus (Rhincodon typus) iaitu spesies yang dilindungi di bawah undang-undang negara.

"Selain itu, pada tahun 2026, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya merampas 35.6 tan sirip ikan yu kering bernilai kira-kira RM8.2 juta yang dipercayai diimport tanpa permit sah serta diikrarkan secara palsu.
"DOF juga menerima aduan daripada orang awam berhubung penjualan ikan yu di pasar dan platform media sosial," ujarnya.
Jelasnya, setiap aduan akan disiasat bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang.
Berdasarkan data rasmi DOF, kata Adnan, jumlah pendaratan ikan yu pada tahun 2024 ialah sebanyak 5,585.44 tan metrik dengan nilai borong berjumlah RM35.55 juta.

"Pada tahun 2025, jumlah pendaratan meningkat kepada 6,836.47 tan metrik dengan nilai borong sebanyak RM47.04 juta," ujarnya.
Tegas beliau, DOF mengingatkan bahawa mana-mana individu yang menangkap, memiliki, mengangkut, menjual atau memperdagangkan spesies ikan yu yang dilindungi tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perikanan 1985 dan peraturan-peraturan berkaitan.
"Saya menyeru komuniti nelayan agar terus mengamalkan aktiviti penangkapan ikan secara bertanggungjawab.
"Sekiranya ikan yu tertangkap sebagai tangkapan sampingan (by-catch) dan masih hidup, lepaskanlah semula ke laut dengan kaedah pengendalian yang sesuai kerana tindakan kecil ini mampu memberi impak besar dalam memastikan kelestarian sumber perikanan dan keseimbangan ekosistem marin negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
