Kes pasar raya di Selayang jadi peringatan, jangan mudah 'judge' orang

Lotus’s Malaysia mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya selaras dengan dasar dalaman syarikat berhubung insiden wanita hamil dituduh mencuri di cawangan pasar raya itu di Selayang, Selangor, baru-baru ini.
Lotus’s Malaysia mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya selaras dengan dasar dalaman syarikat berhubung insiden wanita hamil dituduh mencuri di cawangan pasar raya itu di Selayang, Selangor, baru-baru ini.
A
A
A

INSIDEN seorang wanita hamil 38 minggu yang dituduh mencuri di sebuah pasar raya di Selayang sehingga diminta menunjukkan buku pink sebagai bukti kehamilan membuka mata masyarakat tentang bahaya membuat kesimpulan tanpa bukti.

Menurut dakwaan suaminya, mereka dihentikan seorang kakitangan lelaki selepas membuat pembayaran kerana bentuk perut isterinya disyaki menyembunyikan barangan.

Lebih menyedihkan, wanita berusia 23 tahun yang sarat hamil itu didakwa turut diminta berdiri selama hampir 20 minit di hadapan pelanggan lain sementara pihak pasar raya menghubungi penyelia, sekali gus menyebabkan wanita berkenaan berasa malu dan tertekan.

Bagaimanapun, juruwang wanita yang membuat dakwaan tersebut tampil memberi penjelasan sebelum mengakui bahawa beliau tidak pernah melihat isteri lelaki itu mengambil sebarang barang.

Setakat ini, Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) memaklumkan telah mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya selaras dengan dasar dalaman syarikat berhubung insiden wanita hamil dituduh mencuri di cawangan pasar raya berkenaan.

Dalam satu kenyataan, syarikat tersebut berkata pihaknya telah menyelesaikan siasatan dan mendapati tindakan berkenaan tidak memenuhi standard layanan serta perkhidmatan yang sewajarnya diharapkan oleh pelanggan.

Menurutnya, tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah di pasar raya tersebut.

Kes tersebut mungkin berakhir dengan permohonan maaf dan tindakan tatatertib terhadap pekerja terbabit, namun kesan psikologi serta rasa malu yang dialami mangsa bukan sesuatu yang boleh dipadam begitu sahaja.

Apatah lagi, suami mangsa mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan imej isterinya kini bocor dan tersebar di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Maruah seseorang boleh tercalar hanya dalam beberapa minit akibat tindakan yang didorong oleh sangkaan semata-mata.

Hakikatnya, budaya cepat “menghakimi” terus membimbangkan apabila ada pihak yang membuat andaian tanpa mengetahui cerita sebenar hanya berdasarkan penampilan, bentuk tubuh, pakaian atau tingkah laku seseorang.

Situasi seumpama itu bukan sahaja berlaku di premis perniagaan, malah semakin ketara di media sosial apabila masyarakat pantas menjatuhkan hukuman melalui komen dan perkongsian sebelum fakta lengkap diperoleh.

Dalam menjalankan tugas, setiap pihak termasuk petugas keselamatan, kakitangan premis dan orang awam berhak berwaspada jika mengesyaki sesuatu kesalahan.

Bagaimanapun, kewaspadaan itu perlu disertai profesionalisme, prosedur yang betul dan bukti yang mencukupi, bukannya berdasarkan tanggapan atau stereotaip.

Membuat tuduhan tanpa asas bukan sahaja boleh mengaibkan seseorang, malah boleh menjejaskan kesihatan emosi terutama bagi golongan rentan seperti wanita hamil, warga emas dan kanak-kanak.

Kes di Selayang itu sewajarnya menjadi peringatan bahawa dalam apa juga keadaan, jangan cepat menghukum, jangan mudah mempercayai sangkaan dan jangan sesekali menggadaikan maruah seseorang hanya kerana andaian.

Kebenaran memerlukan bukti, manakala maruah manusia perlu sentiasa dipelihara.

Itulah pengajaran paling besar yang boleh diambil daripada insiden tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!